BENTONG, 7 Oktober - Pengamal media dari pelbagai agensi komited menjalankan tugas demi menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Mereka berkampung di Pelangai seawal 22 September lalu sejak penamaan calon sehingga ke hari mengundi yang membawa keputusan PRK sampai ke malam.
Rata-rata petugas media akui mereka berdepan dengan pelbagai cabaran namun demi tugas untuk menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat, tanggungjawab itu perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
Bertugas sebagai wartawan dan juga jurukamera, Mohd Zalani Md Atan,63, berkata dia perlu membawa bekalan ubat-ubatan sepanjang bertugas di Pelangai memandangkan menghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi dan diabetis.
"Saya seronok dengan kerja saya, walaupun kadang kala terpaksa juga mengorbankan waktu makan saya demi menyampaikan maklumat dengan cepat kepada masyarakat,"katanya.
Sementara itu, wartawan Norra Yusof, 40, berkata beliau perlu meninggalkan keluarga di Kuantan lebih dua minggu lamanya untuk menjalankan tugas di Pelangai.
"Ini perkara lazim bagi seorang pengamal media. Saya berterima kasih kepada suami dan anak-anak yang memahami dengan tugasan saya," kata ibu kepada empat cahaya mata ini.
Bagi Fansurina Abdullah,40, beliau sudah berulang-alik ke dari Kuantan ke Pelangai hampir sebulan yang lalu.
"Sebelum penamaan calon, saya sudah berada di Pelangai untuk membuat tinjauan di kawasan ini.
"Banyak cabaran yang saya tempuhi antaranya jadual yang sangat padat, memandangkan saya bertugas di studio untuk slot Legasi Pelangai, saya perlu menyelaraskan jadual mengikut waktu yang ditentukan oleh tetamu jemputan.
"Saya juga perlu meninggalkan anak dan keluarga saya di Kuantan selama saya berada di Pelangai. Setiap hari saya hanya membuat panggilan video bersama anak saya bagi menghilangkan rasa rindu.
"Saya harap semua orang memahami keadaan kami sebagai media," katanya.
Jarak dari Kuantan ke Simpang Pelangai ialah 217 kilometer dan mengambil masa kira-kira 2 jam dan 11 minit dengan melalui Maran, Taman Tas, Kg Sentosa dan Karak.
Petugas media tidak kira sebagai wartawan, jurufoto dan jurukamera menuntut mereka untuk selalu berada di lapangan.
Mereka bukan sahaja sebagai penghubung informasi lengkap kepada masyarakat, malah petugas media juga menjadi 'semak dan imbang' (check and balance) kepada kerajaan dan ahli politik.