SENTUL, 10 November - Pembangunan ekonomi positif dan pengurusan kos sara hidup yang lebih berkesan antara harapan penduduk di kawasan Parlimen Batu pada pilihan raya kali ini.
Meskipun rata-rata penduduk yang ditemui RTM tidak mengenali sesetengah calon yang bertanding namun mereka menerima kehadiran calon muka baharu sebagai tanda negara demokrasi.
Seorang penduduk dikenali sebagai Khairil Azrin berkata dalam 10 orang calon yang bertanding, dia hanya akan mengundi seorang calon yang komited menjalankan tugas sebagai wakil di kawasan itu.
Manakala, seorang peniaga pakaian, Nik Firdaus Nik Mazuki berharap agar bakal Ahli Parlimen Batu dapat menangani masalah kesesakan lalu lintas di kawasan itu.
"Kalau nak tambah pembaharuan, saya harap masalah parkir yang terhad di kawasan ini dapat diatasi," katanya yang belum pasti memilih calon yang bertanding pada 19 November ini.
(Calon PH, P Prabakaran sekali lagi bertanding pada pilihan raya kali ini
sementara Tian Chua pula bertanding selaku calon BEBAS)
Mohd Tajudin Ibrahim pula berpendapat apa jua masalah yang dihadapi rakyat penduduk Batu wajar diberi bantuan sama rata tanpa mengira bangsa.
"Saya tak ada merasakan calon yang bertanding cuba mengelirukan penduduk, sebaliknya rakyat yang perlu berfikir dengan matang untuk memilih calon mereka," katanya ketika ditemui RTM.
Aruvinthan Kanasan yang bertugas sebagai pengawal keselamatan berkata akan memilih pemimpin yang mampu mentadbir negara untuk tempoh lima tahun dengan cemerlang.
"Tidak kisah apa pun bangsa pemimpin tersebut, apa yang rakyat mahu adalah semuanya sama rata," katanya.
Parlimen Batu mempunyai 113,863 pengundi yang berdaftar dan menyaksikan pertembungan sepuluh penjuru membabitkan calon penyandang, calon yang kembali bertanding dan muka baharu.