PADANG BESAR, 11 November - Sepakat, hormat menghormati dan penuh keharmonian antara calon bertanding mewarnai kempen secara bersemuka pada PRU15.
Enam calon Parlimen P001 Padang Besar yang mewakili Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) turun padang menemui golongan peniaga dan pengundi di pasar sehari Santan.
Calon P001 Padang Besar mewakili PN, Rushdan Rusmi berkata setiap calon memiliki kelebihan tersendiri serta saling hormat menghormati.
"Kami seperti adik beradik dan mampu mengekalkan perpaduan antara satu sama lain," katanya ketika ditemui pada Program Sembang Santai bersama peniaga dan pengundi di Pasar Sehari Santan, di sini.
Seorang lagi calon P001 Padang Besar mewakili PH, Kapten (B) Mohamad Yahaya berkata walaupun masing-masing bersaing memenangi hati pengundi namun tidak timbulkan permusuhan antara satu sama lain.
Sementara itu Calon N04 Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya berkata kempen pada PRU15 kali ini sesuatu yang cukup harmoni dimana setiap calon mengenali antara satu sama lain dan ada diantaranya mempunyai hubungan kekeluargaan.
Manakala Calon BN bagi N05 Santan, Azizan Sulaiman berkata masing-masing tidak mengetahui siapa yang bakal memimpin negeri dan negara ketika ini dan penentunya hanya akan diketahui selepas 19 November ini.
Parlimen Padang Besar merekodkan seramai 60,192 pengundi. DUN Mata Ayer mempunyai 9,662 pengundi dan DUN Santan sebanyak 10,751 pengundi.