fb fb fb fb fb

Muhyiddin akan kemuka SD ahli parlimen sokong beliau sebagai PM hari ini

(Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menghadiri Mesyuarat Majlis
Tertinggi Bersatu/ Foto BERNAMA) 

SHAH ALAM, 21 November - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengemukakan akuan bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen hari ini.

Ia bagi membuktikan bahawa gabungan itu mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN tidak pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama PN, tidak menghalang PN untuk membentuk kerajaan melalui sokongan daripada ahli Parlimen. 

"Kalau ikut perlembagaan, perlembagaan mengatakan ahli-ahli parlimen..dia tak kata daripada parti mana ke, secara individu boleh, secara berkumpulan menerusi parti mereka pun boleh, kalau ada antara ahli parlimen yang membuat keputusan untuk menyokong saya, itu hak ahli parlimen, ia bersandarkan perlembagaan negara, jadi perlembagaan kata seseorang yang nak menjadi Perdana Menteri mestilah mendapat kepercayaan daripada majoriti ahli parlimen, kalau ikut istilahnya 112 kerusi, dia tak sebutkan mesti datang dari parti a, parti b, parti c," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin juga berkata ahli-ahli Parlimen yang memberi sokongan bagi pembentukan kerajaan tidak menyalahi Perlembagaan negara dan Akta Anti Lompat Parti.


(Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas
menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu/ Foto BERNAMA) 

Beliau menjelaskan tindakan ahli Parlimen yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri hanya atas kapasiti individu dan bukannya keluar parti.

"Ia tidak menghalang mana-mana parti, hatta, bukan semua datang daripada PN..GPS, GRS, Bebas dan memang tidak melanggar akta, itu kerana mereka tidak keluar dari parti, tetapi mereka secara individu, ahli parlimen dari mana, hatta bebas menyatakan sokongan kepada saya, jadi tidak menyalahi daripada Akta Anti Lompat Parti lah," menurut beliau.

Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum pukul 2 petang, hari ini.

PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), GPS (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan (tiga) dan masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.

Majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan adalah 112 kerusi.

Media Baharu