fb fb fb fb fb

Agong titah parti-parti politik kemuka gabungan dipersetujui dan calon PM

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 20 November- Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti.

Juga, menamakan Calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2.00 petang, esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima maklum bahawa pada PRU15 semalam, tiada gabungan parti politik yang berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen.

Sehubungan itu, Istana Negara telah memohon kerjasama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk meminta semua ketua parti dan gabungan parti politik terlibat mengemukakan cadangan gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui dan calon perdana menteri mereka kepada Istana Negara.

Ia selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad.

Pada 1.15 tengah hari tadi, Seri Paduka berkenan menerima menghadap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang mengemukakan dokumen keputusan rasmi PRU15 di Istana Negara.

(Tangkap layar kenyataan media Istana Negara)

Media Baharu