JOHOR BAHRU, 12 Mac - Pasangan suami isteri, Abd Rahman Mohamad, 71 dan Rahmah Johari, 69 terus bersemangat dan gembira menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU Dewan Negeri Johor.
Pilihan raya ini merupakan kali ke-11 buat pasangan suami isteri ini mengundi.
Kedua-dua mereka menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat mengundi Sekolah Agama Kempas Baru.
(Abd Rahman Mohamad)
Pesara kerajaan itu berkata, beliau tidak pernah ketinggalan mengundi sejak pilihan raya umum ke empat pada tahun 1974.
Pasangan ini juga memuji perjalanan proses pengundian di Pusat Mengundi yang dilihat mematuhi SOP serta membantu golongan berkeperluan khas.
"Hari ini adalah pemilihan yang ke-11 saya lalui selama hayat. Semoga negara selamat seterusnya memberi kejayaan kepada kita," kata Abd Rahman.
(Rahmah Johari)
"Saya gembira dan syukur dipanjangkan usia, pengundian hari ini tidak sibuk macam dulu. Panjang umur, Insya-Allah undi lagi," menurut Rahmah Johari.