(Kemeriahan kempen mulai dirasai dengan pemasangan bendera parti-parti bertanding)
BATU PAHAT, 1 Mac - Rewang bersama masyarakat untuk majlis Israk Mikraj dan ziarah berjumpa guru lama, antara aktiviti kempen calon Barisan Nasional, BN di kerusi Dewan Negeri Semarang dan Sri Medan, di sini sempena PRU Dewan Negeri Johor.
Calon BN Semarang, Datuk Samsolbari Jamali ketika ditemui berkata kempen bersemuka kali ini membolehkan beliau terus mendekati pengundi di kawasan tersebut.
"Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diberikan itu lebih kepada ceramah besar dan sebagainya. Namun pertemuan bersama warga setempat terus berjalan dan apa yang penting SOP dijaga," katanya.
Begitu juga calon BN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan yang sempat meluangkan masa berjumpa guru lamanya, Fauzan Ya’amat sambil mengedarkan kalendar tahun baharu.
"Walaupun terdapat kekangan tapi Alhamdulillah saya dapat bergerak ke lokasi tumpuan dan kita sentiasa tekankan kepada jentera supaya sentiasa mematuhi SOP mengekang penularan COVID-19," kata beliau.
Tidak ketinggalan, calon Amanah, Aminolhuda Hassan yang bertanding di kerusi Dewan Negeri Parit Yaani memberi penghormatan menghadiri majlis pengebumian di Parit Andin 3.
Menurut Aminolhuda, kempen bersemuka dan media sosial perlu diseimbangkan demi mengelakkan penularan COVID-19.
"Ini cabaran kepada kami untuk sampaikan maklumat kepada rakyat, walau ada media sosial tidak dapat pergi ke semua kawasan. Cara ini walaupun tradisional tetapi tetap memberi kesan," jelasnya.