fb fb fb fb fb

PRU Dewan Negeri Johor: Calon ambil maklum titah YDP Agong jaga kepentingan rakyat

JOHOR BAHRU, 1 Mac - Calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15 mengambil maklum titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14, yang mengingatkan ahli politik supaya fokus menjaga kepentingan rakyat.

Menurut calon BN Gambir, Shahrizan Jani tanggungjawab menyelesaikan permasalahan rakyat perlu digalas sebaik mungkin.

"Rakyat kini berhadapan dengan masalah ekonomi dan sebagainya, jadi saya kira buat masa ini apa yang penting adalah untuk kita menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil bagi menjaga kebajikan rakyat," katanya kepada RTM.

(Calon BN Gambir, Shahrizan Jani)

Pandangan sama disuarakan calon PN Gambir Mohd Solihan Badri.

"Kita sebagai wakil rakyat memang mempunyai gaji tetapi kita berkhidmat untuk rakyat, bukan berpolitik untuk memperkukuhkan diri sendiri. Kita seharusnya fokus isu rakyat dan perlu memahami apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong," kata Mohd Solihin.

(Calon PN Gambir, Mohd Solihan Badri)

Bagi calon PKR Gambir, Naim Jusri yang kini sedang menjalani kuarantin berikutan dijangkiti COVID-19 khidmat kepada rakyat perlu diberi keutamaan manakala kepentingan peribadi diketepikan.

"Sama-sama kita membawa suara rakyat dan mengenepikan kepentingan diri dan politik. Rakyat sewajarnya menentukan wakil mereka," jelas Naim.


(Calon PKR Gambir, Naim Jusri)

Media Baharu