JOHOR BAHRU, 1 Mac - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Johor mengingatkan 756,247 pengundi baharu yang berusia 18 hingga 20 tahun di negeri ini membuat semakan maklumat diri menjelang hari mengundi Pilihanraya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15 pada 12 Mac depan.
Pengarahnya, Nor Nekman Jaimon berkata, pengundi boleh menyemak maklumat pengundian melalui aplikasi mySPR Semak atau portal Semakan Daftar Pemilih SPR.
Katanya, maklumat yang dikongsikan di dalam MySPR Semak adalah berkaitan maklumat tempat mengundi, nombor saluran dan juga nombor daftar mengundi.
"Pengundi akan dimaklumkan mengenai waktu yang disarankan untuk ke pusat mengundi pada 12 Mac ini.
"Oleh itu, pengundi tidak perlu bimbang sekiranya terdapat kekeliruan semasa hari mengundi kerana terdapat petugas SPR di pusat-pusat mengundi yang akan membantu mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Jika mereka tidak mempunyai maklumat berkaitan dengan saluran mereka akan diarahkan ke khemah semakan daftar pemilih, petugas akan buat semakan daftar pemilih sama ada mereka mengundi dipusat berkenaan atau sebaliknya," katanya kepada RTM Johor petang tadi.
SPR merekodkan seramai 2,597,742 pemilih berdaftar yang mengambil bahagian dalam PRU Dewan Negeri Johor kali ini.