fb fb fb fb fb

Ikhtiar BN jadikan Johor negeri makmur didokong naratif politik matang dan stabil

JOHOR BAHRU, 1 Mac - Ikhtiar Barisan Nasional (BN) menumpukan kepada lima fokus utama untuk menjadikan Johor sebagai negeri yang makmur.

Pengerusi BN negeri, Datuk Hasni Mohammad berkata fokus tersebut mencakupi Kemajuan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat, Orang Muda Johor (OMJ), Pentadbiran Berintegriti dan Reformasi Politik.

BN Johor mempunyai satu matlamat yang mana parti itu mahu memakmurkan negeri yang didukung oleh naratif politik baharu yang matang dan stabil.

"Marilah kita bersama-sama memakmurkan Johor dengan ekonomi yang maju, perniagaan yang bercambah, infrastruktur yang moden dan kualiti hidup yang terbaik. Ingatlah, Johor harus tetap menjadi Johor. Sudah tiba masanya untuk kita menentukan masa depan yang stabil buat negeri ini dan bangsanya.

"Ikhtiar pertama BN Johor adalah kemajuan ekonomi dan dalam masa lima tahun kita akan mengembalikan kehebatan ekonomi Johor yang pernah menjadi penyumbang tertinggi kepada keseluruhan pelaburan Malaysia.

"Sesungguhnya, ketidakstabilan politik dan pandemik telah membantutkan kemajuan dan prestasi ekonomi negeri yang dahulu pernah disegani. Oleh itu melalui Johor berdaya saing, BN Johor akan melaksanakan sembilan inisiatif," katanya pada majlis pelancaran Ikhtiar BN Johor yang dibuat secara maya.

(Hasni pada majlis pelancaran Ikhtiar BN Johor yang dibuat secara maya)

Menurut Hasni, BN juga akan melaksanakan tiga inisiatif utama bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana yang terkesan akibat COVID-19. Antaranya, pinjaman tanpa faedah RM100 juta Bank Rakyat dan pelbagai bantuan kewangan tahunan.

Ikhtiar kedua iaitu Kesejahteraan Rakyat pula antaranya memberi fokus kepada pendidikan. Ini termasuk pemberian bantuan kewangan tahunan 150 Ringgit kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga berpendapatan RM3,001 hingga RM7,000.

Dalam menegakkan Syiar Islam dan Kemajmukan Johor, enam inisiatif digaris antaranya menaik taraf Kolej Pengajian Islam Johor ke status Kolej Universiti dan memperluas cukai tanah nominal yang kini diberi kepada masjid dan surau, kepada rumah ibadat bukan Islam.

"Tidak dilupakan juga BN Johor akan turut meningkatkan kualiti hidup masyarakat desa dengan empat inisiatif utama, antaranya meningkatkan kualiti hidup masyarakat dalam pelbagai aspek sosio ekonomi seperti penciptaan pekerjaan dan pemerkasaan modal insan.

Sementara itu, dua inisiatif besar akan dilaksanakan dalam mencipta peluang pekerjaan serta menggalakkan penghijrahan semula golongan profesional dari Singapura ke Johor.

Antaranya, menawarkan 100,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang yang memfokuskan kepada pertanian moden, ekonomi digital dan ekonomi kreatif.

"Golongan belia atau Orang Muda Johor (OMJ) merupakan segmen masyarakat yang paling penting bagi negeri ini. Oleh itu, bagi membangun potensi dan mencipta peluang kepada OMJ, BN Johor akan melaksanakan enam inisiatif utama dalam masa lima tahun.

"Antaranya bantuan kewangan tahunan RM5,000 kepada semua mahasiswa Johor dari keluarga B40 dan mewujudkan lebih banyak rumah transit kepada OMJ yang layak dengan harga sewa yang amat berpatutan di kawasan strategik," katanya.

Dalam aspek pentadbiran berintegriti, lima inisiatif utama bakal dilaksana.

Antaranya, setiap Ahli Dewan Negeri di Johor diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM.

Juga mewujudkan Indeks Prestasi Utama, KPI untuk Ahli Dewan Negeri, Pegawai Utama Kerajaan Negeri dan Ketua Kampung.

Pelaporan secara berkala akan dilaksanakan kepada rakyat sekerap mungkin.

Manakala, peruntukan tahunan RM200,000 untuk Ahli Dewan Negeri Kerajaan dan Pembangkang dengan sama rata, diteruskan.

Media Baharu