fb fb fb fb fb

Ismail Sabri seru pengundi buat pilihan terbaik, pilih calon kerajaan Perpaduan

(FOTO RTM)

BENTONG, 27 September -Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dinasihatkan agar bijak membuat keputusan memilih calon wakil rakyat bagi memudahkan pembangunan di kawasan berkenaan diteruskan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata kerja-kerja pembangunan akan menjadi mudah sekiranya calon yang dipilih adalah daripada Barisan Nasional (BN) memandangkan kerajaan negeri kini diterajui oleh kerajaan Perpaduan yang turut disertai parti berkenaan.

"Orang di sini (DUN Pelangai) kena bijak memilih. Walaupun kedua-duanya berasal dari kawasan sama, kena lihat siapa yang mampu bantu rakyat.

"Calon BN adalah di bawah kerajaan negeri", katanya.

Sebaliknya, kerajaan Perpaduan dilihat perlu bekerja keras bagi memenangi hati pengundi di PRK Kemaman memandangkan negeri Terengganu kini di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

"Saya percaya kita boleh menang di Kemaman sekiranya kita bekerja keras dan tiada perpecahan dalaman", kata Ismail yang ditemui RTM ketika menyantuni peniaga dan pengunjung di Pekan Sehari Felda Chemomoi, di sini.

Turut hadir, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam.

Semalam, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman ekoran terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi.

1
(Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri menyantuni para peniaga dan
pengunjung di Pekan Sehari Felda Chemomoi/FOTO RTM)

Media Baharu