BERA, 6 November- Strategi kempen pilihan raya secara santai, harmoni dan tidak menyerang peribadi lawan menjadi fokus Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Penyandang Parlimen Bera itu berkata, pemikiran pengundi masa kini khususnya pengundi kali pertama adalah berbeza berbanding dahulu, dan mereka lebih bijak serta matang dalam membuat keputusan.
"Rakyat sebenarnya ingin tahu apa yang telah dilaksanakan iaitu melalui inisiatif-inisiatif yang telah pun kita jelaskan, apa yang telah dilaksanakan. Dan inisiatif ini adalah berdasarkan bajet. Bajet maknanya yang akan dilaksanakan. Jadi kita terangkan apa yang telah dilaksanakan dan apa yang akan dilaksanakan melalui bajet yang telah dibentangkan. Jadi kita tidak bohong," katanya.
Katanya lagi, serangan peribadi merupakan strategi lama dalam menambat hati rakyat ketika kempen pilihanraya kerana rakyat sudah bijak dan matang.
"Saya tidak memberikan fokus langsung setakat ini untuk serang sesiapa pun. Bagi saya apa produk yang kita hendak jual untuk beri kepada rakyat, lebih baik daripada memburukkan produk orang," kata Ismail di sini.
Bercakap dalam sidang media selepas program Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Bandar Kemayan, di sini Ismail Sabri berkata apa yang penting adalah tumpuan untuk mengangkat dan 'menjual' produk sendiri berbanding kaedah memburukkan produk pihak lain.
(Ismail Sabri beramah mesra dengan penduduk dalam satu program 'Kenduri Rakyat')
Menterjemahkan konsep Keluarga Malaysia, beliau beramah mesra dengan penduduk Melayu,Cina Dan India dalam satu program 'Kenduri Rakyat'.
Terkenal dengan sikapnya yang mesra, beliau dilihat bersalaman, berswafoto dan turut menjamu selera bersama penduduk di situ.
Sebelum itu, beliau memulakan kempen dengan menyantuni peniaga dan pengunjung di Pasar Sehari Kerayong.
Gagasan Keluarga Malaysia yang dicetuskan Ismail Sabri pada Oktober 2021, diterjemahkan dalam setiap programnya termasuklah ketika berkempen.
Pada PRU15, Ismail Sabri yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bera sejak 2004 berdepan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan Abas Awang yang bertanding atas tiket PKR dan Datuk Asmawi Harun daripada Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional.