(Simulasi penamaan menjelang penamaan calon esok/FOTO Tuan Ikram)
KEPALA BATAS, 4 November - Semua calon yang akan bertanding bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Kepala Batas disaran memastikan borang mereka lengkap sepenuhnya.
Pegawai Pengurus, Zulkifli Rashid berkata ia bagi mengelak pencalonan mereka ditolak pada hari penamaan calon esok.
"Selain borang, resit pembayaran deposit hendaklah dibawa bersama sebagai bukti.
"Kita juga telah menghubungi calon untuk berjumpa wakil SPR bagi melakukan semakan awal, mana-mana calon yang buat kesilapan kekurangan maklumat yang sepatutnya diisi dalam borang, mereka dinasihatkan untuk memperbetulkan borang tersebut agar borang mereka diterima," katanya selepas sesi simulasi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berpuas hati dengan proses simulasi yang dijalankan hari ini.
Beliau berharap kesemua calon memberi kerjasama penuh bagi memudahkan proses penamaan calon esok.
Antara calon yang dijangka bertanding bagi kerusi Parlimen Kepala Batas esok ialah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (UMNO - BN), Danial Abd Majeed (PH - MUDA), Dr Mastura Mohamad (Perikatan Nasional - PAS) dan Hamidi Abdul Hassan (GTA - BERJASA).