BERA, 4 November- Ahli serta pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO diminta mengetepikan segala perbezaan dan masalah yang timbul berhubung keputusan calon yang bertanding mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setiap perkara dan keputusan dibuat demi kebaikan parti.
Justeru, tugas setiap ahli parti adalah untuk bekerja bersama-sama dan saling menyokong untuk memastikan kemenangan BN pada PRU15 kali ini.
“Apa yang penting adalah parti. Permasalahan yang berlaku di beberapa bahagian dan parlimen adalah perkara yang biasa menjelang PRU namun seperti yang saya katakan dahulu, tidak semua akan bertanding walaupun ramai calon yang layak tetapi hanya seorang sahaja yang akan terpilih akan mewakili Barisan Nasional (BN)," kata Ismail kepada pemberita RTM selepas meninjau persiapan jentera pilihan raya BN di bilik gerakan BN parlimen Bera.
(Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditemui media di Bera hari ini selepas
meninjau bilik gerakan BN bagi parlimennya)
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Ismail Sabri yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera menasihatkan agar ahli dan penyokong semua parti yang hadir pada proses penamaan calon esok agar menjaga displin serta mengelakkan perbuatan provokasi.
"Pada esok hari, ramai yang akan hadir untuk menyokong calon dan wakil masing-masing. Jaga disiplin, keselamatan dan elakkan provokasi. Kita mahu proses PRU yang harmoni," tambahnya.
Ismail Sabri yang akan mempertahankan kerusi itu dijangka bakal berdepan saingan daripada calon Pakatan Harapan, Abas Awang (PKR) dan Perikatan Nasional (PN), Asmawi Harun (Bersatu).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Disember 2022 sebagai hari pengundian manakala undi awal pada 15 November 2022.