KUALA LUMPUR, 4 November - Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini menyaksikan parti politik banyak mempertaruhkan muka baharu.
Turut diberi peluang untuk bertanding ialah sosok berpengalaman yang telah terbukti kepimpinan masing-masing.
Calon muka baharu dan muda menjadi sebahagian aspirasi parti menawan hati terutama golongan belia.
Pemilihan Shahril Hamdan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Alor Gajah misalnya membuktikan wujud penerus legasi kepimpinan parti.
Seorang lagi pendatang baharu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka mampu memberi saingan sengit di Kuala Selangor.
Dari Rembau ke Sungai Buloh, turut tercalon individu berpengalaman dan berkaliber Khairy Jamaluddin yang diberi tanggungjawab di tempat baharu iaitu Sungai Buloh.
Kewibawaan ketiga-tiga pemimpin membantu pentadbiran kerajaan 'Keluarga Malaysia' menjadi kayu ukur kepada parti untuk diketengahkan dalam PRU15 kali ini.
Percaturan calon membabitkan muka baharu turut dilaksana di setiap negeri.
Di Pahang, lebih 70 peratus calon (BN) merupakan orang baharu.
Johor BN pula mengetengahkan 60 peratus calon baharu, sementara Perikatan Nasional (PN) 72 peratus .
Pertembungan antara Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Tambun bakal mencuri tumpuan dalam PRU15.
Mereka dijangka ditentang calon (BN), Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan Gerakan Tanah Air (GTA), Abdul Rahim Tahir.
Parlimen Gombak bakal menyaksikan pertembungan hangat antara calon (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan anak muridnya; Datuk Seri Amirudin Shari daripada (PH) dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin mewakili (BN).
Kerusi Simpang Renggam juga panas apabila bekas Menteri Besar Johor mewakili (BN), Datuk Seri Hasni Mohamad akan bertembung dengan calon (PH) Maszlee Malik, Mohd Fazrul Kamat (PN) dan Kamal Kuskin (GTA).
Manakala di Bentong, perebutan kerusi antara calon (BN); Tan Sri Liow Tiong Lai dengan calon (PH), Young Syefura Othman dan calon (PN), Datuk Roslan Hassan.
Perletakan Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan; Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai calon PAS di Machang, turut mencuri tumpuan.
Tiga selebriti diketengahkan GTA dalam PRU15 iaitu Datuk Seri Idris Md. Yusof atau lebih dikenali Eizlan Yusof , Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi.
Sementara itu, BN turut memberi peluang kepada orang lama iaitu bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang bakal membuat kemunculan semula.
Selain aspek calon, buat julung kalinya PRU15 turut menampilkan beberapa parti baharu diberi kepercayaan gabungan masing-masing untuk bertanding.
Laporan wartawan Syamimi Saripan.