fb fb fb fb fb

Tidak mahu calon Ketereh terkapai-kapai, Annuar tolak tawaran PN

(Annuar Musa hadir ke Dewan UMNO Negeri Kelantan bagi memberi
sokongan kepada calon-calon yang bakal bertanding esok/FOTO FB Annuar Musa)

KOTA BHARU, 4 November - Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengakui telah menolak tawaran beberapa parti lain termasuk Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau mendedahkan ramai membuat tawaran namun beliau tetap dengan pendirian untuk kekal bersama UMNO.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, ramai yang menganggap beliau akan membuat kejutan pada hari penamaan calon.

"Ada yang berkata esok masih ada lagi peluang, boleh buat kejutan lagi, tapi pada saya ini bukan kejutan.

"Apa yang pasti tiada sebarang kejutan. Ini soal prinsip dan pegangan dan saya terpaksa terus terang kalau ada parti lain mengajak saya, saya kata tak boleh berbuat demikian.

"Bukan saya benci pada parti lain tapi memang begitulah pegangan saya," katanya.

Sebagai 'orang lama' UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar menyatakan kesediaan membantu calon BN Parlimen Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin, untuk mempertahankan kerusi itu.

"Kalau saya serahkan kepada Marzuani seorang, kesian lah dia. Takkan saya nak biarkan dia terkapai-kapai.

“Sejak arwah ayah dia (Marzuani) masih hidup dia telah menyokong saya, malah ibunya juga sehingga kini menjadi penyokong saya, kadang-kadang ibunya masak makanan pun hantar ke rumah saya.

“Orang-orang ini pernah berkorban untuk saya, jadi bila tiba giliran mereka (Marzuani) saya perlu berkorban sedikit.

"Pagi tadi saya panggil Datuk Alwi dan Marzuani untuk buat persediaan sebaik mungkin," tambahnya lagi.

(Annuar Musa melawat rumah mangsa ribut dan menyampaikan
bantuan kepada mereka petang tadi di Ketereh/FOTO FB Annuar Musa)

Terdahulu, calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B), Datuk Khlir Mohd. Nor mendakwa beliau belum menerima watikah pelantikan untuk proses penamaan calon PRU15 esok.

Menurut Khlir, watikah untuk penggunaan logo bulan mewakili parti Pas yang ditandatangani Presiden Pas ,Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya diterima sebaik diumumkan sebagai calon malam kelmarin.

Dakwanya, perkara itu menimbulkan rasa pelik dan seperti ada sesuatu yang berlaku dan berkemungkinan ada kejutan menjelang esok.

Media Baharu