SHAH ALAM, 4 November- Tiada pengecualian terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan pada hari penamaan calon dan hari pengundian serta sepanjang 14 hari kempen PRU15 di Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menegaskan tindakan sewajar akan diambil berdasarkan lunas undang-undang, termasuk mengikut Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Datuk Arjunaidi berkata pihaknya akan menggunakan kekuatan sepenuhnya bagi menghadapi PRU-15 dan memberi komitmen bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam.
"Kita melaksanakan sesuatu penguatkuasaan adalah mengikut lunas undang-undang sedia ada terutama sekali Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan juga akta-akta lain.
Kita akan gunakan sepenuhnya untuk mengelakkan daripada mana-mana pihak yang cuba mengganggu proses pilihan raya ini. Kita sudah kenal pasti kawasan lokasi 'panas', ada 77 tempat. Maka, tempat-tempat ini kita akan beri tumpuan yang lebih," kata Arjunaidi kepada RTM ketika ditemui di Shah Alam.
Sementara itu, polis Selangor juga akan menutup laluan di sembilan daerah sempena hari penamaan calon esok, melibatkan Petaling Jaya, Klang Utara, Shah Alam, Kajang, Gombak, Hulu Selangor, Ampang Jaya, Sungai Buloh dan Sabak Bernam.
Di samping itu, jalan utama di Jalan Persiaran 3, Bandar Baru Selayang dan Lorong SMK Sungai Pusu di Gombak turut ditutup.
(Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan esok, Sabtu (5 November 2022)
sebagai hari penamaan calon PRU15)