SHAH ALAM, 4 November- Selangor dilihat memiliki 77 kawasan 'panas' Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan Polis Kontinjen Selangor mengambil keputusan menempatkan 13,836 pegawai dan anggotanya bagi memastikan keadaan terkawal.
Bagi penamaan calon sahaja yang dijadualkan berlangsung esok, seramai 4,956 pegawai dan anggota akan ditempatkan di 22 pusat penamaan calon.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata keutamaan kawalan keselamatan akan diberi kepada lima kerusi panas dan beberapa kawasan yang bakal ditandingi calon "berpengaruh" terutama kepimpinan tertinggi parti masing-masing.
"Kita menjangkakan beberapa kerusi parlimen yang mana persaingannya agak seimbang ataupun sengit antara dua atau tiga parti. Kita turut mengenal pasti mungkin Sabak Bernam, Sungai Besar, Kuala Selangor, Gombak dan mungkin Sungai Buloh.
"Kita turut mengambil kira kerusi-kerusi yang dipertandingkan yang mana akan bertandingnya terdiri daripada calon-calon nama besar yang telah kita kenal pasti iaitu di Gombak, juga di Shah Alam, Sungai Buloh, Ampang, Pandan, Kuala Selangor, Sepang," kata Arjunaidi dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di sini.
Selangor mempunyai 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang melibatkan 945 daerah mengundi jumlah saluran sebanyak 6,219.
(Datuk Arjunaidi berkata polis Selangor kenal pasti "kawasan panas")