fb fb fb fb fb

31,183 petugas polis, unit dron pantau proses penamaan calon

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 4 November - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan 31,183 petugas serta aset dron di seluruh negara bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), esok.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata ia membabitkan tugas pemantauan petugas beruniform dan tidak beruniform serta Unit Dron PDRM.

Beliau yang juga Pengarah Operasi PDRM bagi PRU15 berkata PDRM sentiasa bersiap siaga bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin sepanjang proses penamaan calon PRU15 berlangsung.

(Datuk Seri Hazani Ghazali / FOTO FAIL)

"PDRM menyeru semua pihak yang terbabit agar memberi kerjasama dalam mematuhi undang-undang dan mengelak daripada melakukan sebarang provokasi," katanya menerusi kenyataan.

Penamaan calon bagi PRU15 akan berlangsung esok di seluruh negara membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15).

Tempoh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 pagi hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon antaranya terdiri daripada pejabat daerah, dewan orang ramai dan dewan sekolah di seluruh negara.

Turut diadakan serentak adalah penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.

Media Baharu