(Azwan menyatakan sokongan terhadap calon Pakatan Harapan (PH), Amiruddin Shari)
GOMBAK, 5 November- Pengacara kontroversi, Azwan Ali mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) P098 Parlimen Gombak.
Adik kepada penyandang kerusi Parlimen Gombak itu berkata, tindakan menarik diri itu dilakukan selepas mendapat mimpi arwah ibunya 'Mak Tom' yang menasihatkannya supaya tidak bertanding.
"Saya bersyukur ada hikmah yang Allah SWT tunjuk supaya tidak bertanding, pertama kerana bisikan arwah Mak Tom dalam mimpi saya, jadi dia nasihatkan saya jangan bertanding," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui media di Pusat Pencalonan SMK Sungai Pusu.
Beliau bagaimanapun menafikan penarikan diri berikutan tiada wang pendahuluan, memandangkan calon perlu membayar RM10,000 untuk bertanding.
Azwan turut mendakwa menerima panggilan daripada isteri abangnya, Mohamed Azmin Ali, iaitu Shamshidar Taharin malam tadi.
Panggilan itu juga antara faktor dia memutuskan untuk menarik diri.
Selepas menarik diri, Azwan kemudiannya menyatakan sokongan terhadap calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Gombak, Amiruddin Shari.
(Azwan Ali ketika tiba di Pusat Pencalonan SMK Sungai Pusu)