Usaha damai AS-Iran ambil masa pulihkan rantaian bekalan tenaga dunia

FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 8 AprilRantaian bekalan minyak dan gas global tidak akan pulih dalam tempoh singkat meskipun Iran dan Amerika Syarikat (AS) melaksana inisiatif damai termasuk pelan 10 perkara dan gencatan senjata.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemulihan melibatkan logistik kompleks; kapal tangki perlu memenuhi kadar insurans, jaminan keselamatan dan perlindungan sebelum operasi normal disambung.
  • Iran mengemukakan pelan 10 perkara termasuk jaminan tidak diserang, kawalan Selat Hormuz, pengiktirafan pengayaan uranium dan pemansuhan sekatan AS, dan AS menerima secara prinsip.
  • Presiden AS menangguhkan sebarang serangan dua minggu dan bersetuju menghentikan serangan jika Iran membuka semula Selat Hormuz segera dan selamat.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana sebarang langkah pemulihan akan melibatkan aspek logistik yang kompleks.

“Pergerakan minyak dan gas menggunakan laluan ini melibatkan kapal tangki yang perlu memenuhi pelbagai keperluan termasuk kadar insurans, jaminan keselamatan serta perlindungan sebelum boleh beroperasi semula secara normal.

“Justeru, ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan dijangka masih berlaku dalam jangka masa pendek,” katanya kepada RTM.

Iran mencadangkan pelan 10 perkara dan mengesahkan bahawa AS secara prinsip menerima pelan tersebut sebagai asas kepada usaha menamatkan konflik antara kedua-dua negara.

Cadangan itu merangkumi beberapa tuntutan utama termasuk jaminan tidak akan diserang, pengekalan kawalan Iran terhadap Selat Hormuz, pengiktirafan hak Tehran dalam pengayaan uranium serta pemansuhan sekatan utama dan sekunder oleh AS.

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump menyatakan kesediaan Washington untuk menangguhkan sebarang serangan ke atas Iran selama dua minggu dan menyifatkan cadangan Tehran sebagai asas praktikal bagi rundingan damai.

Beliau turut bersetuju untuk menghentikan serangan yang dirancang, dengan syarat Iran membuka semula Selat Hormuz sepenuhnya, serta-merta dan dalam keadaan selamat.