Transformasi automotif: BEV jadi strategi nasional untuk kelestarian dan produktiviti

Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MITI), Sim Tze Tzin/Foto Bernama


PETALING JAYA, 2 April
– Malaysia berpeluang mempercepat penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV) susulan konflik Asia Barat yang menjejaskan harga minyak global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Transformasi automotif pesat, elektrifikasi sebagai strategi nasional menyokong pertumbuhan ekonomi, inovasi dan kelestarian alam sekitar.
  • Pelancaran tiga model BEV UMW Toyota: bZ4X, Urban Cruiser, dan Hilux BEV, meliputi SUV, kenderaan urban dan pickup komersial.
  • Peningkatan jumlah kenderaan elektrik dari 55 pada 2020 kepada lebih 45,000 pada 2025, dengan kira-kira 5.5 peratus pendaftaran baharu.
  • Infrastruktur pengecasan awam berkembang, lebih 5,000 titik pengecasan, membuka peluang pembangunan bakat, teknologi dan rantaian bekalan tempatan.

Demikian dinyatakan Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MITI), Sim Tze Tzin.

Jelas beliau, transformasi sektor automotif negara kini berlaku dengan pesat, ditambah dengan lonjakan harga minyak ketika ini, membuka ruang untuk rakyat beralih kepada kenderaan BEV sebagai pilihan lebih ekonomik dan lestari.

“Ini peluang baik, terutama bagi Toyota dan pengeluar lain. Saya percaya pengguna akan mula memikirkan cara menjimatkan kos dan mempertimbangkan penggunaan BEV pada masa hadapan.”

“BEV amat penting kerana ia bukan sahaja menjimatkan kos, malah membantu Malaysia bergerak ke arah sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara menjelang 2050.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pelancaran tiga model BEV baharu UMW Toyota Motor (UMWT) di sebuah pusat konvensyen, hari ini.

Tiga model yang diperkenalkan ialah Toyota bZ4X, Urban Cruiser, dan Hilux BEV, meliputi SUV penumpang, kenderaan urban, dan pickup komersial.

Sim menambah, jumlah kenderaan elektrik di Malaysia meningkat daripada 55 unit pada 2020 kepada lebih 45,000 unit pada 2025, mewakili kira-kira 5.5 peratus pendaftaran kenderaan baharu. Infrastruktur pengecasan awam juga semakin berkembang dengan lebih 5,000 titik pengecasan.

Beliau menekankan bahawa transformasi automotif ke arah elektrifikasi bukan sekadar soal kenderaan, tetapi merupakan strategi nasional yang menyokong pertumbuhan ekonomi, inovasi, dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, kerjasama antara kerajaan dan syarikat automotif antarabangsa seperti Toyota dijangka menjadi pemangkin kepada revolusi mobiliti bersih di Malaysia.

Dalam pada itu, Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., berkata pendekatan Toyota terhadap elektrifikasi mengambil kira keperluan rakyat Malaysia serta kepentingan mobiliti untuk ekonomi negara.

Beliau menegaskan BEV bukan sekadar teknologi hijau, tetapi juga alat penting untuk menyokong ekonomi dan produktiviti industri di seluruh negara.

Pelancaran tiga model BEV baharu tersebut turut membuka peluang untuk pembangunan bakat tempatan, teknologi, da rantaian bekalan yang lebih kukuh.