
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Beberapa syarikat penerbangan utama negara menilai semula tambang dan surcaj bahan api susulan lonjakan harga bahan api jet serta ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
- MAG akan terus menyemak kadar tambang dan surcaj bahan api bagi syarikat di bawah kendaliannya untuk mengurus kos operasi dan mengekalkan kesalinghubungan.
- Tony Fernandes berkata sektor penerbangan berdepan cabaran akibat keputusan politik global dan turun naik harga minyak, namun asas perniagaan tetap berdaya tahan.
- Batik Air Malaysia melaksanakan pelarasan sederhana termasuk surcaj bahan api mengikut kategori laluan untuk menampung kos dan mengekalkan tambang kompetitif.
Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan pihaknya akan terus menyemak kadar tambang dan surcaj bahan api dari semasa ke semasa selaras dengan keadaan pasaran.
Langkah itu turut melibatkan syarikat penerbangan bawah kendaliannya termasuk Malaysia Airlines, Firefly dan AMAL .
Ia sebahagian usaha mengurus kos operasi, di samping mengekalkan kebolehpercayaan serta kesalinghubungan rangkaian penerbangannya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tony Fernandes memaklumkan sektor penerbangan kini berdepan cabaran susulan keputusan politik global dan turun naik harga minyak yang tidak menentu.
Walaupun berdepan persekitaran yang mencabar, syarikat penerbangan tambang rendah itu menegaskan asas perniagaannya kekal berdaya tahan mengharungi keadaan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Batik Air Malaysia turut melaksanakan pelarasan sederhana bagi beberapa laluan terpilih termasuk mengenakan surcaj bahan api mengikut kategori laluan.
Langkah itu bertujuan menampung sebahagian peningkatan kos bahan api selain memastikan harga tambang kekal kompetitif dan fleksibel mengikut penawaran serta permintaan pasaran.
Ketika ini, kebanyakan syarikat penerbangan global memantau lonjakan harga bahan api jet yang meningkat daripada sekitar US$85 hingga US$90 setong kepada melebihi US$100 susulan ketegangan konflik di Asia Barat.