
KUALA LUMPUR , 12 November –Perbelanjaan modal atau CAPEX Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang mencatat penurunan pada separuh pertama 2026 dijangka kembali meningkat pada 2027 hingga 2028, disokong prospek harga minyak mentah yang lebih tinggi.
- MBSB Research: kitaran perbelanjaan modal selari dengan harga minyak dengan tindak balas 12 hingga 18 bulan.
- Harga minyak yang tinggi berpotensi mendorong pemulihan perbelanjaan modal dalam tempoh dua tahun.
- Prestasi hasil dan pendapatan syarikat OGSE bergerak seiring dengan trend perbelanjaan modal industri.
- Pemulihan pendapatan OGSE dijangka lambat kerana kesan hanya muncul selepas kontrak diberi; unjuran sektor kekal positif.
Menurut laporan penyelidikan MBSB Research, perbelanjaan modal Petronas merosot lima peratus kepada RM16.8 bilion bagi tempoh enam bulan pertama 2026, berbanding RM17.6 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu merupakan paras terendah dalam tempoh beberapa tahun, tidak termasuk pelaburan RM24.6 bilion dalam usaha sama dan syarikat bersekutu, yang sebahagian besarnya dipercayai melibatkan suntikan modal ke dalam PRefChem sebelum pengambilalihan pemilikan penuh.
MBSB Research berkata, kitaran perbelanjaan modal syarikat itu lazimnya bergerak seiring dengan perubahan harga minyak mentah, dengan tempoh tindak balas sekitar 12 hingga 18 bulan.
Sehubungan itu, harga minyak mentah yang kekal tinggi berpotensi mendorong pemulihan perbelanjaan modal syarikat minyak dan gas negara itu dalam tempoh dua tahun berkenaan.
Menurut laporan itu, prestasi hasil dan pendapatan syarikat dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) sebelum ini turut menunjukkan pergerakan seiring dengan trend perbelanjaan modal industri minyak dan gas.
Pemulihan perbelanjaan itu berpotensi merancakkan pertumbuhan sektor OGSE, bagaimanapun, peningkatan pendapatan syarikat dijangka mengambil masa memandangkan kesannya hanya dapat dilihat selepas kontrak diberi.
Firma penyelidikan itu ,mengekalkan unjuran positif bagi sektor minyak dan gas, disokong prospek pemulihan perbelanjaan modal dalam jangka sederhana.