
KUALA LUMPUR, 9 Februari – Sebanyak RM117 juta diperuntukkan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi melaksanakan lapan program utama’; merangkumi aspek pertumbuhan tinggi dan keterangkuman.
- RM117 juta diperuntukkan untuk lapan program utama menyokong pertumbuhan dan keterangkuman PMKS.
- Permohonan dibuka untuk program RMK13 2026–2030 yang fokus kepada penskalaan PMKS.
- Hab PMKS dan laman SME Corp sediakan maklumat serta khidmat nasihat kepada usahawan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy, PMKS kini boleh mula mengemukakan permohonan bagi menyertai program tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 memberi penekanan kepada agenda penskalaan PMKS, dengan matlamat menaik taraf perniagaan daripada kategori mikro kepada kecil, dan seterusnya kepada sederhana.
“Usaha penskalaan ini merupakan agenda utama kerajaan dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi serta membina ekosistem PMKS yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.
“Sasarannya adalah untuk meningkatkan jumlah firma sederhana daripada 1.6 peratus kepada lima peratus menjelang tahun 2030, sekali gus dijangka meningkatkan sumbangan KDNK PMKS sehingga RM1 trilion,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, Hari Terbuka@Hab PMKS terus berperanan sebagai pusat rujukan utama bagi maklumat dan khidmat nasihat perniagaan kepada usahawan.
Sejak diperkenalkan pada Januari 2024, inisiatif terbabit memberi manfaat kepada lebih 100 PMKS setiap bulan menerusi kerjasama strategik antara kementerian, agensi kerajaan dan pihak swasta.
PMKS yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu boleh melayari laman sesawang di pautan www.smecorp.gov.my dan saluran media sosial rasmi SME Corp.Malaysia atau berkunjung ke Hab PMKS di Ibu Pejabat dan 12 Pejabat Negeri di seluruh negara.