Ringgit diunjur hampiri RM4.00 menjelang pertengahan 2026

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Januari – Ringgit diunjur menghampiri paras RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pertengahan 2026, sebelum berlegar pada RM3.94 berbanding dolar menjelang hujung tahun ini, menurut AmBank Group.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ringgit dijangka mengukuh hampir RM4.00 berbanding dolar AS menjelang pertengahan 2026, menurut unjuran AmBank.
  • Pengukuhan disokong prospek ekonomi Malaysia positif, jangkaan penurunan kadar faedah AS dan aliran masuk portfolio asing.
  • Pasaran bon tempatan dan peningkatan yuan turut dijangka memberi sokongan sampingan kepada ringgit, walaupun dipengaruhi perkembangan global.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group, Firdaos Rosli berkata, pengukuhan ringgit akan disokong oleh prospek ekonomi Malaysia yang positif, jangkaan penurunan kadar faedah AS, serta aliran masuk portfolio asing ke pasaran tempatan.

“Ini antara faktor-faktor yang kami lihat menyokong pengukuhan ringgit yang membuat pecutan akhir pada suku keempat berbanding beberapa bulan sebelumnya. Jadi dari segi unjuran, kami menjangkakan ringgit akan mengukuh secara sederhana.

“Sekiranya AS membuat keputusan untuk mengurangkan kadar faedah sebanyak dua kali atau lebih daripada itu, ini akan memberi prospek yang positif kepada pasaran bon tempatan,” katanya pada sesi taklimat tinjauan makroekonomi AmBank bagi 2026.

Bank itu menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan kadar faedahnya sebanyak dua kali pada 2026, mencerminkan konsensus pasaran dan peningkatan risiko ekonomi termasuk pelantikan pengerusi Fed baharu.

Tambahnya, pasaran bon tempatan berpotensi meraih manfaat daripada pencarian alternatif aset selamat yang berkemungkinan memberi sokongan sampingan kepada ringgit.

”Peningkatan beransur-ansur yuan juga akan mewujudkan ruang bagi mata wang negara Asia lain yang bergantung kepada perdagangan, termasuk ringgit untuk terus mengukuh.

”Bagaimanapun, peningkatan mata wang tempatan secara beransur-ansur masih kekal dipengaruhi oleh perkembangan pasaran global,” katanya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan