Ringgit berupaya cecah paras RM3.93 sedolar pertengahan 2026

MARC Ratings menjangka ringgit terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang pertengahan 2026/foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Januari – Ringgit berupaya mencecah paras RM3.93 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang pertengahan 2026, menurut MARC Ratings.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ringgit dijangka mencecah RM3.93 berbanding dolar AS menjelang pertengahan 2026 disokong aliran masuk portfolio asing stabil.
  • Asas domestik yang berdaya tahan, inflasi rendah dan penyatuan fiskal menyokong hasil MGS 10 tahun sekitar 3.35-3.40 peratus.
  • Risiko luaran perlu dipantau, termasuk kemungkinan kenaikan kadar faedah Jepun yang boleh cetus ketidaktentuan pasaran.

Agensi itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pengukuhan tersebut akan disokong oleh aliran masuk portfolio asing yang stabil, tahap inflasi yang rendah, jurang hasil antara Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Perbendaharaan AS (MGS–UST) yang semakin memihak kepada Malaysia.

Selain itu, sentimen luaran yang lebih kukuh dijangka akan meningkatkan lebihan perdagangan.

”Ringgit meningkat 10.1 peratus berbanding dolar AS menjelang akhir 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai mata wang yang mempunyai prestasi terbaik di Asia.

“MARC Ratings berpendapat bahawa asas domestik yang berdaya tahan dan penyatuan fiskal yang berterusan, dengan defisit fiskal yang diunjurkan pada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026, akan menyokong penetapan hasil MGS 10 tahun sekitar 3.35 peratus hingga 3.40 peratus pada 2026,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, walaupun pertumbuhan global dijangka menyederhana tahun ini berikutan kekangan struktur dan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, prospek ekonomi Malaysia kekal agak berdaya tahan.

Kestabilan ekonomi akan kekal dipacu permintaan domestik yang stabil, pelaburan berterusan berkaitan kitaran AI, inflasi yang rendah, pembaharuan institusi serta pengukuhan fiskal yang berterusan.

”Faktor-faktor ini akan menyokong ringgit dan memacu pergerakan hasil bon domestik.

“Bagaimanapun, masih ada risiko luaran yang perlu dipantau termasuklah isyarat Jepun untuk meningkatkan kadar faedahnya yang boleh mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran baharu muncul, terutamanya yang mempunyai penyertaan asing yang besar,” katanya.