Rakuten Trade semak semula unjuran FBM KLCI 2026

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Rakuten Trade menyemak semula unjuran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bagi 2026 kepada 1,800 berbanding 1,810 sebelum ini, berikutan ketidaktentuan geopolitik global yang masih membelenggu pasaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik AS dan Iran berlanjutan tingkatkan ketidaktentuan pasaran global, berpotensi mendorong harga minyak Brent melepasi AS$100 dan menjejaskan ekonomi.
  • Pasaran Asia dijangka menyaksikan turun naik tinggi dalam tempoh satu hingga dua bulan susulan ketidaktentuan geopolitik.
  • Minyak Brent boleh capai AS$150 jika Selat Hormuz ditutup, memberi manfaat kepada syarikat bergantung kepada minyak dan perkhidmatan pengangkutan.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Kenny Yee berkata prestasi pasaran sebahagian besarnya bergantung kepada tempoh perang Amerika Syarikat (AS)–Iran serta kesannya terhadap harga minyak mentah.

“Kami percaya perang ini akan akan berlarutan untuk tempoh yang lama dan kita dapat melihat tindakan balas daripada Iran serta cara mereka menolak apa kenyataan untuk menghentikan perang oleh Trump.

”Jadi saya berpandangan ia akan berlanjutan. Berapa lama? Tiada siapa yang tahu, tetapi sudah tentu ia bukan perang yang hanya berlangsung satu atau dua bulan; ia akan mengambil masa lebih lama daripada itu. Dengan keadaan ini, ketidaktentuan dalam pasaran saham global juga akan semakin meningkat,” katanya pada taklimat Tinjauan Pasaran Rakuten bagi Suku Kedua 2026 secara maya, hari ini.

Jelasnya, sekiranya berlarutan, harga minyak mentah Brent dijangka akan melonjak melepasi paras AS$100 setong, seterusnya memudaratkan perkembangan ekonomi global.

Sehubungan itu, Rakuten menjangkakan pasaran Asia akan menyaksikan pergerakan turun naik dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.

Bagaimanapun, aliran dana asing setakat tahun ini kekal kukuh dengan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM1.28 bilion.

“Setakat ini, kedua-dua institusi tempatan dan dana asing telah memainkan peranan penting dalam menyokong indeks sehingga ke paras semasa.

“Namun, sebaliknya bagi segmen runcit yang mengalami aliran keluar dana yang berterusan,” katanya.

Mengenai ringgit, beliau mengunjurkan unit tempatan itu akan bergerak antara julat 3.80 hingga 3.90 berbanding dolar AS, berikutan ekonomi AS yang semakin perlahan yang mungkin mendorong lebih banyak penjualan aset berdenominasi dolar.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakutan Trade Thong Pak Leng meramalkan minyak mentah Brent berpotensi mencapai AS$150 setong sekiranya Selat Hormuz, yang mengendalikan 20 peratus penghantaran minyak global terus ditutup.

“Kami percaya syarikat yang banyak bergantung kepada harga minyak mentah atau yang menyediakan perkhidmatan penyimpanan dan pengangkutan penting akan menjadi antara penerima manfaat utama,” katanya.