
KUALA LUMPUR, 15 November – Pertumbuhan ekonomi rantau Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) diunjur mencecah 3.4 peratus pada 2026, meningkat daripada unjuran awal 3.2 peratus, disokong pelaburan teknologi yang kukuh serta aktiviti perdagangan lebih rancak.
- Daya tahan ekonomi APEC disokong pelaburan dan perdagangan dalam sektor teknologi, terutama semikonduktor.
- Eksport barangan melonjak 22.5 peratus pada separuh pertama 2026, didorong permintaan kukuh terhadap semikonduktor.
- Kenaikan harga tenaga, ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan dasar perdagangan menjejaskan pertumbuhan dan menambah tekanan inflasi.
- Kekangan fiskal dan paras hutang tinggi mengehadkan ruang kerajaan, manakala manfaat pelaburan teknologi tidak diagihkan sama rata.
Bagaimanapun, pertumbuhan dijangka menyederhana kepada 3.1 peratus pada 2027 susulan cabaran ekonomi global yang semakin meningkat, termasuk kenaikan harga tenaga, ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan dasar perdagangan.
Menurut laporan terkini Unit Sokongan Dasar APEC, daya tahan ekonomi rantau itu terus disokong pelaburan dan perdagangan dalam sektor berkaitan teknologi, khususnya semikonduktor.
Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC, Carlos Kuriyama berkata, meskipun pertumbuhan ekonomi rantau itu kekal berdaya tahan, ekonomi anggota perlu memperkukuh keupayaan masing-masing bagi menghadapi risiko yang semakin meningkat.
“Pertumbuhan di rantau APEC kekal berdaya tahan, disokong oleh pelaburan dan perdagangan yang kukuh dalam sektor berkaitan teknologi, namun persekitaran ekonomi yang menjadi semakin mencabar boleh melemahkan pertumbuhan dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Laporan itu turut mendedahkan nilai eksport barangan rantau APEC melonjak 22.5 peratus pada separuh pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, berbanding pertumbuhan 6.5 peratus yang dicatatkan pada separuh pertama 2025.
“Jumlah eksport turut berkembang 10.8 peratus, didorong terutamanya permintaan kukuh terhadap semikonduktor.
Bagaimanapun, volum eksport barangan dan perkhidmatan dijangka berkembang lebih perlahan pada 2027, iaitu 3.8 peratus berbanding 6.9 peratus pada 2026, berikutan gangguan geopolitik dan ketidaktentuan dasar perdagangan,” ujar kenyataan sama.
Dalam pada itu, kenaikan harga tenaga turut menambah tekanan inflasi di seluruh rantau berkenaan apabila harga minyak mentah meningkat 35.9 peratus sejak Julai 2026, manakala harga gas asli cecair dan arang batu masing-masing naik 40.2 peratus dan 14 peratus.
Keadaan itu dijangka meningkatkan kos operasi perniagaan serta perbelanjaan isi rumah, dengan inflasi rantau APEC diunjurkan mencapai 3.2 peratus pada 2026 sebelum menyederhana kepada 2.8 peratus pada 2027.
Penganalisis Unit Sokongan Dasar APEC, Rhea Crisologo Hernando berkata, peningkatan harga tenaga dan makanan telah menjejaskan kuasa beli isi rumah selain meningkatkan kos operasi perniagaan.
“Penggubal dasar berdepan cabaran untuk menangani inflasi sambil menyokong aktiviti ekonomi,” katanya.
Laporan itu turut memberi perhatian kepada kekangan fiskal yang dihadapi ekonomi anggota susulan peningkatan hasil bon kerajaan dan paras hutang awam yang diunjurkan antara 108 hingga 112 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh terdekat.
“Keadaan itu mengehadkan ruang kerajaan untuk bertindak balas terhadap kejutan ekonomi.
Selain itu, manfaat daripada peningkatan pelaburan teknologi dijangka tidak diagihkan secara sama rata, khususnya kepada ekonomi yang mempunyai keterbatasan infrastruktur, sumber kewangan dan tenaga kerja mahir,” jelas beliau.
Dalam pada itu, penyelidik Unit Sokongan Dasar APEC, Eldo Simanjuntak berkata, pelaburan teknologi berpotensi meningkatkan produktiviti, namun manfaatnya bergantung pada keupayaan sesebuah ekonomi membangunkan kemahiran dan kapasiti pelaburan yang diperlukan.
Sehubungan itu, laporan berkenaan menggesa pengurusan ekonomi yang berhemat, kepelbagaian pelaburan dan sumber tenaga, perdagangan terbuka serta kerjasama serantau lebih kukuh bagi mengekalkan pertumbuhan dan mengurus risiko ekonomi.