
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Konflik geopolitik global mendedahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada risiko aliran tunai dan gangguan rantaian bekalan.
- PKS perlu perkemas strategi perniagaan dan kedudukan kewangan, dengan disiplin kewangan lebih teguh serta pelaburan berhati-hati dan strategik.
- Percepat transformasi digital melalui automasi dan teknologi AI untuk mempertingkat daya saing dan kecekapan operasi PKS.
- Pelancongan dijangka terus berdaya tahan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026; peruncitan, pembuatan dan perdagangan mungkin hadapi penyusutan margin.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, keadaan ini menuntut sektor perniagaan untuk memperkemas strategi perniagaan dan kedudukan kewangan, selain mempercepatkan transformasi digital.
”PKS khususnya sangat terdedah kepada ketidaktentuan ini kerana kita tidak mempunyai sandaran tunai atau kepakaran yang mencukupi untuk melindungi nilai risiko, mahupun mengalihkan rantaian bekalan kita ke tempat lain.”
”Saya percaya, PKS pada hari ini perlu mempunyai disiplin kewangan yang lebih teguh, melabur secara lebih berhati-hati dan strategik serta mempercepatkan penggunaan automasi dan teknologi AI dalam perniagaan,” katanya kepada RTM.
Sementara itu, Datuk William yakin dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar, sektor pelancongan Malaysia diunjur terus berdaya tahan dan mengekalkan prestasi yang baik didorong penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Bagaimanapun, sektor peruncitan, pembuatan dan perdagangan mungkin berdepan dengan penyusutan margin yang lebih ketara, kesan daripada krisis geopolitik global.