PKS disaran fokus kawalan kos, daya tahan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Januari – Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) disaran memberi tumpuan kepada pengurusan kos dan daya tahan perniagaan pada 2026, susulan ketidaktentuan ekonomi global yang masih berterusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan kawalan kos melalui pengurusan aliran tunai, pengurangan pembaziran dan peningkatan kecekapan operasi.
  • Perkukuh daya tahan perniagaan sebelum pengembangan agresif, fokus pada asas dan kelangsungan jangka panjang.
  • Manfaatkan sokongan kerajaan seperti pembiayaan, geran digital dan latihan untuk automasi dan capaian pasaran.

Presiden Persatuan SME Malaysia, Dr. Chin Chee Seong berkata, iklim ekonomi sepanjang 2025 menunjukkan peningkatan kos operasi serta perubahan corak perbelanjaan pengguna yang turut menjadi cabaran kepada perniagaan.

“Tahun 2025 merupakan tahun yang mencabar, dengan kos yang meningkat dan pengguna yang lebih berhati-hati berbelanja.

”Sehubungan itu, PKS perlu mengawal aliran tunai, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan operasi bagi memastikan kelangsungan perniagaan,” katanya kepada RTM.

PKS perlu memanfaatkan tahun 2026 untuk memperkukuh asas perniagaan berbanding pengembangan yang terlalu agresif.

Ia termasuk memanfaatkan pelbagai sokongan kerajaan seperti skim pembiayaan, geran digital dan program latihan bagi meningkatkan automasi serta kesiapsiagaan ke pasaran eksport.

“Dengan perkembangan pesat e-dagang dan pembayaran digital, perniagaan luar bandar kini boleh menembusi pasaran yang lebih luas.

”Namun, selain infrastruktur yang lebih baik, program sokongan seperti bimbingan perniagaan serta akses yang lebih mudah kepada pembiayaan kekal penting bagi menyokong pertumbuhan mampan,” katanya.

Sokongan dasar kerajaan yang praktikal serta kerjasama antara kerajaan dan industri, sektor PKS dijangka terus menjadi pemacu utama ekonomi domestik negara.