Kandungan digital pengaruh utama pembelian dalam talian

Foto RTM

AMPANG, 18 Januari Kandungan digital bukan lagi sekadar medium pemasaran, sebaliknya menjadi faktor yang mempengaruhi keputusan pembelian dalam ekosistem e-dagang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kandungan digital kini menjadi faktor utama mempengaruhi keputusan pembelian dalam e-dagang.
  • Platform e-dagang menekankan keterjangkauan harga dan kecekapan penghantaran untuk menarik pengguna.
  • Pencipta kandungan digabungkan dengan platform untuk menukar penglibatan media sosial kepada jualan.
  • Penyesuaian model perniagaan diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan e-dagang secara mampan.

Menurut Ketua Kempen Shopee Malaysia, Jimmy Tan, perubahan tersebut mendorong platform e-dagang menstruktur semula pendekatan perniagaan dengan menekankan keterjangkauan harga, kecekapan penghantaran serta penggunaan kandungan digital sebagai pemacu keputusan pembelian pengguna.

Beliau berkata sepanjang sedekad lalu, keutamaan pengguna semakin tertumpu kepada nilai, kelajuan dan kandungan yang dipercayai, selari dengan peralihan cara pengguna membuat keputusan pembelian dalam persekitaran digital.

“Jadi kami bertindak menerusi perubahan ini dengan memperkukuhkan ekosistem penggabungan dan kandungan, yang kini melibatkan ratusan ribu pencipta bagi menukar penglibatan di media sosial kepada hasil komersial sebenar.

“Perkembangan ini menyumbang kepada peningkatan trafik, pertumbuhan pesanan yang lebih kukuh serta lonjakan jualan yang dipacu oleh penemuan produk berasaskan kandungan.” katanya bersempena acara Shopee House: Sambutan Tahun Baharu Cina, di sini.

Tambahnya, platform e-dagang perlu terus menyesuaikan model perniagaan dengan perubahan tingkah laku pengguna, khususnya dalam penggunaan kandungan digital.

Beliau berkata pendekatan tersebut penting bagi memastikan pertumbuhan sektor e-dagang dapat dikekalkan secara mampan dalam jangka sederhana dan panjang.