OPR dijangka kekal 2.75 peratus – Penganalisis

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 18 Januari– Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada paras 2.75 peratus, selari dengan keadaan ekonomi domestik stabil dan inflasi yang terkawal.

RINGKASAN BERITA AI
  • OPR dijangka kekal 2.75% selari dengan ekonomi domestik stabil dan inflasi terkawal.
  • Kestabilan OPR tingkat keyakinan pelabur dan memudahkan perancangan kewangan pengguna serta perniagaan.
  • Tiada keperluan segera untuk ubah OPR kecuali kejutan besar inflasi atau risiko luaran.

Ketua Penyelidik Ekonomi TA Securities, Shazma Juliana Abu Bakar berkata permintaan dalam negara yang berdaya tahan terus menyokong pertumbuhan ekonomi, sekali gus mengurangkan keperluan bagi sebarang pelarasan dasar monetari dalam masa terdekat.

“Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari sebelum ini menunjukkan bahawa dasar monetari semasa adalah sesuai dengan keadaan ekonomi negara.”

“Selagi tiada kejutan besar daripada segi inflasi atau risiko luaran yang ketara, tiada keperluan mendesak untuk menaikkan atau menurunkan OPR dalam masa terdekat. Kestabilan OPR ini, memberi isyarat positif kepada pasaran kewangan,” katanya kepada RTM.

Tambah Shazma, kestabilan OPR membantu meningkatkan keyakinan pelabur serta memudahkan perancangan kewangan pengguna dan perniagaan.

“OPR yang tidak berubah membantu mengurangkan ketidaktentuan, terutamanya apabila pelabur mempunyai jangkaan yang jelas terhadap dasar monetari.

“Dari sudut kadar faedah pula, ia memastikan pengguna dan perniagaan tidak berdepan perubahan mendadak dalam kos pembiayaan, termasuk pinjaman perumahan dan pembiayaan perniagaan, sekali gus memudahkan perancangan kewangan jangka sederhana dan panjang,” ujarnya.

Secara keseluruhan, kestabilan OPR dilihat memberi ruang bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan, sambil memastikan sistem kewangan negara terus stabil dan rakyat tidak terjejas oleh perubahan mendadak kos pembiayaan.