Maybank jangka pertumbuhan pinjaman 5-6 peratus di Malaysia pada 2026

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Februari – Malayan Banking Berhad (Maybank) menjangkakan pertumbuhan pinjaman di Malaysia antara lima hingga enam peratus pada 2026, selaras dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan pinjaman Malaysia dijangka 5-6% pada 2026 selaras dengan KDNK.
  • Pemacu termasuk perbelanjaan pengguna kukuh dan peningkatan pelaburan teknologi serta infrastruktur pusat data.
  • JS-SEZ Johor-Singapura menunjukkan aktiviti rancak dan prospek cerah.
  • Maybank catat keuntungan bersih RM10.51 bilion dan jumlah dividen 63 sen sesaham.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Shafiq Abdul Jabbar berkata, pertumbuhan itu dipacu ekonomi domestik yang stabil, perbelanjaan pengguna yang kukuh serta peningkatan pelaburan teknologi walaupun berdepan cabaran global.

“Pada asasnya, banyak pembangunan infrastruktur terutama pusat data dan ekosistem sokongannya sedang dilaksanakan, manakala portfolio perkhidmatan kewangan komuniti (CFS) dijangka terus berkembang.

“Selain itu, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menyaksikan pelbagai aktiviti yang rancak dan menjanjikan prospek cerah,” katanya pada taklimat media keputusan kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2025, di sini, hari ini.

Bagi tahun kewangan 2025, Maybank mencatat keuntungan bersih RM10.51 bilion, meningkat 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Prestasi ini disokong pertumbuhan pendapatan yang stabil, pengurusan kos yang disiplin serta kualiti aset yang berdaya tahan.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 4.6 peratus kepada RM14.33 bilion, manakala pendapatan operasi bersih berkembang 2.7 peratus kepada RM30.38 bilion.

Lembaga Pengarah turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 33 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen keseluruhan 63 sen sesaham bagi tahun kewangan berkenaan.