
ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 11 Oktober – Peningkatan peruntukan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berjumlah RM57 bilion menerusi Belanjawan 2027, perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi memperkasa keupayaan dan produktiviti PMKS sekali gus memperkukuh daya saing sektor berkenaan.
- Manfaatkan pembiayaan untuk pelaburan teknologi, automasi, kecerdasan buatan dan sistem digital bagi meningkatkan keupayaan operasi PMKS.
- Utamakan pembangunan kemahiran pekerja dan latihan bagi meningkatkan produktiviti serta membolehkan bayaran gaji lebih tinggi.
- Perkukuh daya saing dengan menyertai rantaian nilai serantau dan global serta gunakan sokongan agensi perdagangan dan pembiayaan eksport.
Pensyarah Kanan di School of Accounting and Finance, Taylor’s University, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, pemerkasaan keupayaan PMKS perlu diberi tumpuan terutamanya menerusi penggunaan teknologi dan pembangunan kemahiran pekerja.
“Kita tidak mahu PMKS terlalu bergantung membuat pinjaman untuk menampung kos operasi perniagaan mereka.
“Sepatutnya, pinjaman itu membantu PMKS dalam pelaburan seperti automasi, kecerdasan buatan, sistem digital, latihan pekerja dan produk baharu. Usaha ini dapat meningkatkan produktiviti sekali gus ditawarkan bayaran gaji lebih tinggi,” jelasnya.
Mengulas lanjut katanya, ukuran sebenar kejayaan PMKS apabila berkembang dari hanya bertahan kepada lebih berdaya saing serta menyertai rantaian nilai serantau dan global.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Malaysia Tonight di sini.
Belanjawan 2027 memperuntukkan RM60 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi membantu syarikat tempatan menembusi dan mempelbagaikan pasaran luar.
Manakala, Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) menyediakan pembiayaan RM1 bilion bagi menyokong PMKS tempatan meneroka pasaran eksport.