Malaysia-Itali perkukuh hubungan

Malaysia-Itali perkukuh hubungan dua hala – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 5 April – Malaysia dan Itali terus memperkukuh hubungan dua hala dengan memberi tumpuan kepada peningkatan perdagangan dan pelaburan, khususnya dalam industri bernilai tinggi seperti pembuatan dan teknologi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Syarikat Itali mencari rakan strategik tempatan untuk meningkatkan daya saing di pasaran global.
  • Delegasi perniagaan Itali dijangka melawat Malaysia pada 28 dan 29 Jun, melawat lokasi selain Kuala Lumpur.
  • Hubungan Kuala Lumpur dan Rom membuka peluang memperluas kerjasama ekonomi dalam tenaga, industri kreatif dan pelancongan.
  • Pelancongan Itali melonjak kepada 85,000 pengunjung; eksport ke Itali meningkat, disokong produk besi dan keluli.

Duta Besar Itali ke Malaysia, Raffaele Langella berkata syarikat Itali menunjukkan minat yang tinggi, bukan
sekadar untuk menembusi pasaran Malaysia, malah mencari rakan strategik tempatan bagi meningkatkan daya saing di peringkat global.

Menurut beliau, pendekatan kerjasama dengan syarikat tempatan penting bagi memastikan kejayaan dalam pasaran antarabangsa.

“Untuk kekal kompetitif di pasaran global, syarikat perlu bersifat lokal dan mencari rakan kongsi yang tepat bagi setiap pasaran yang ingin diterokai.

”Pada 28 dan 29 Jun ini, satu delegasi perniagaan penting dari Itali akan datang ke Malaysia. Kami berhasrat untuk membawa mereka ke pelbagai lokasi, bukan hanya di Kuala Lumpur dan sedang mengatur program yang sesuai kerana peluang di Malaysia sangat luas,” katanya dalam sesi taklimat media di kediaman rasminya baru-baru ini.

Duta Besar Itali ke Malaysia, Raffaele Langella – BERNAMA

Berdasarkan hubungan positif Kuala Lumpur-Rom, beliau yakin terdapat potensi besar untuk memperluas kerjasama ekonomi merangkumi sektor tenaga, industri kreatif dan pelancongan.

Jelasnya, sebanyak 85,000 pelancong dari Itali direkodkan melawat Malaysia tahun lalu, meningkat lebih dua kali ganda berbanding dua tahun sebelumnya.

Lonjakan itu menunjukkan Malaysia semakin popular dalam kalangan pelancong Itali dan beliau percaya angka itu akan terus meningkat didorong tarikan budaya dan keindahan alam di negara ini.

Secara keseluruhan, perdagangan Malaysia dan Itali terus menunjukkan momentum positif pada 2025, seiring pertumbuhan keseluruhan dagangan Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU).

Itali kekal antara 10 pasaran eksport utama Malaysia ke EU, dengan nilai eksport mencecah RM7.58 bilion, meningkat 12.7% berbanding 2024.

Prestasi kukuh eksport ke Itali disokong terutamanya oleh permintaan tinggi terhadap produk besi dan keluli, dengan nilai eksport meningkat sebanyak RM854.5 juta.