
KUALA LUMPUR, 3 April – Malaysia Aviation Group (MAG) merancang untuk mengembangkan jumlah pesawat kepada 116 unit.
- MAG akan berkhidmat ke 106 destinasi menjelang 2035, selaras dengan rancangan pertumbuhan kumpulan.
- Penerimaan Airbus A330neo dan Boeing 737-800 meningkatkan daya saing armada serta kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan.
- Fasa pertama pemodenan selesai menjelang 2028, baki A330neo diterima 2029-2030, dan penilaian penggantian A350 dirancang menjelang 2032.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar, pesawat berkenaan akan berkhidmat ke 106 destinasi menjelang 2035.
Beliau berkata strategi penambahan jumlah pesawat itu selaras dengan rancangan pertumbuhan kumpulan tersebut, sekaligus mengukuhkan kehadiran MAG di pasaran utama.
“Kami telah menerima 10 unit Airbus A330neo dan 14 Boeing 737-800 dan kami akan menerima satu lagi pesawat pada minggu hadapan.
“Pengembangan ini memastikan kami kekal relevan di koridor jarak jauh utama, mengekalkan gabungan armada yang kompetitif dan meningkatkan kecekapan operasi,” katanya dalam ucapan semasa pengumuman rangkaian MAG, di sini hari ini.
Kapten Nasaruddin berkata penerimaan generasi baru pesawat tersebut meningkatkan tawaran produk syarikat penerbangan, membolehkan MAG menyediakan pengalaman moden dan konsisten bagi setiap perjalanan pelanggan.
“Ini juga menyumbang kepada aspirasi kami untuk menempatkan Malaysia Airlines antara 10 penerbangan global teratas menjelang 2030,” tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan MAG, Bryan Foong berkata, fasa pertama pemodenan kumpulan pesawat tersebut akan lengkap menjelang 2028, dengan jumlah 25 Boeing 737-800 dan 20 Airbus A330neo.
“Selain itu, baki 20 unit A330neo yang kami tempah akan diterima dari 2029 hingga 2030.
“Di samping itu, kami juga sedang menilai bagaimana untuk menggantikan Airbus A350 menjelang 2032,” tambah beliau.
Bryan turut menyatakan bahawa bagi suku pertama 2026, Malaysia Airlines mencatat purata prestasi tepat waktu (on time performance -OTP) sebanyak 88 peratus, meningkat daripada 84 peratus pada 2025.
“Semasa musim puncak Hari Raya baru-baru ini, kami telah menjalankan lebih banyak penerbangan harian daripada sebelumnya dan mencapai OTP hampir 92 peratus.
“Firefly pula mencatat purata OTP 92 peratus bagi suku pertama 2026 dan, lebih menakjubkan, 95 peratus pada bulan Mac,” tambah beliau.