Krisis geopolitik ubah pilihan destinasi pelancong Malaysia

Orang ramai mengunjungi Pameran MATTA Fair 2026 / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 April– Ketidaktentuan geopolitik global mula mempengaruhi pilihan destinasi pelancongan rakyat Malaysia, khususnya dalam merancang perjalanan ke luar negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permintaan perjalanan kekal tinggi tetapi kekangan kapasiti penerbangan dan kenaikan tambang menjejaskan perjalanan jauh.
  • Pelancong semakin memilih destinasi berhampiran seperti China, Jepun, Australia dan negara ASEAN; ramai pilih domestik atau negara jiran.
  • Perjalanan umrah terus mendapat permintaan, keyakinan pelancong pulih selepas penerbangan kembali stabil.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, permintaan perjalanan kekal tinggi.

Namun, kekangan kapasiti penerbangan dan kenaikan tambang memberi kesan kepada perjalanan jarak jauh.

Menurut beliau, trend semasa menunjukkan pelancong lebih cenderung memilih destinasi berhampiran.

“Permintaan masih tinggi, tetapi kekangan kapasiti menyebabkan lebih ramai memilih destinasi dekat.

Antara pilihan utama ialah China, Jepun, Australia serta negara ASEAN,” katanya ketika ditemui pada MATTA Fair April 2026.

Sementara itu, Pengarah Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ida Riswana Idris menjelaskan, perjalanan umrah kekal mendapat permintaan.

Katanya, keyakinan pelancong kembali pulih selepas keadaan penerbangan kembali stabil.

“Pada peringkat awal, memang ada kebimbangan.

Namun selepas keadaan kembali normal dan penerbangan berjalan seperti biasa, keyakinan itu kembali pulih,” jelasnya.

Tinjauan RTM di pameran itu mendapati, sebahagian pengunjung mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam merancang perjalanan.

Aliff Mohd Rafik berkata, beliau kini memilih destinasi domestik atau negara jiran berbanding lokasi berisiko.

“Dalam situasi konflik, kita bimbang jika terkandas di luar negara.

Jadi lebih selamat bercuti dalam negara atau ke negara jiran seperti Singapura atau Thailand,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Sharvin Balachandair turut mempertimbangkan faktor harga dalam membuat keputusan.

“Kami merancang ke Thailand, tetapi masih menilai keadaan semasa dan kos pakej.

Mungkin pilih destinasi domestik bergantung kepada harga,” ujarnya.