Kekal fi rendah, PGMall bantu peniaga tempatan depani ketidaktentuan global

Ketua Pegawai Operasi PGMall, Jerry Ng/RTM

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Platform e-dagang tempatan, PGMall, mengambil langkah proaktif mengekalkan kadar fi transaksi tetap pada tahap lima peratus bagi melindungi kebajikan penjual serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGMall menyediakan ekosistem sokongan menyeluruh untuk memperkasakan penjual dan usahawan tempatan.
  • Kerjasama strategik dengan Zalora meluaskan operasi ke Asia Tenggara dan capai pembeli baharu.
  • Bekerjasama dengan MDEC dan MATRADE untuk membantu penjual memulakan, meningkatkan jualan dan mengembangkan pasaran.
  • Komuniti perniagaan teguh dengan lebih tiga juta pengguna berdaftar serta sokongan kira-kira 30,000 penjual.

Langkah itu dilaksanakan bagi memastikan peniaga tempatan kekal berdaya saing serta mampu mengekalkan margin keuntungan yang mampan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini.

Ketua Pegawai Operasi PGMall, Jerry Ng, berkata komitmen syarikat itu bukan sekadar pada kadar fi yang rendah, malah merangkumi penyediaan ekosistem sokongan yang menyeluruh untuk memperkasakan usahawan di bawah naungannya.

“Kami mahu membantu penjual tempatan untuk terus berniaga, bukan sahaja di pasaran domestik tetapi juga ke peringkat antarabangsa. Sebab itu kami mengekalkan kadar lima peratus selain menyediakan pelbagai sokongan kepada penjual,” katanya demikian selepas majlis pelancaran kerjasama strategik antara PGMall dan platform fesyen terkemuka, Zalora, di sini, hari ini.

Menurut Jerry, bagi memacu pertumbuhan jualan penjual di platform berkenaan, PGMall turut menjalinkan kerjasama erat dengan agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Kami juga bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi membantu penjual tempatan memulakan perniagaan di platform, meningkatkan jualan serta mengembangkan pasaran mereka,” katanya selepas pelancaran majlis kerjasama antara PGMall dan Zalora.

Menerusi kolaborasi terbaharu bersama Zalora, PGMall kini berhasrat memperluas operasi ke peringkat Asia Tenggara dengan sasaran tambahan lima peratus pembeli baharu dari pasaran tempatan dan antarabangsa.

Setakat ini, PGMall memiliki komuniti perniagaan yang teguh dengan lebih tiga juta pengguna berdaftar serta sokongan daripada kira-kira 30,000 penjual dari seluruh negara.