Kadar inflasi Malaysia diunjur 1.5 hingga 2.5 peratus

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

PUTRAJAYA, 15 Jun – Kadar inflasi negara diunjur berada dalam julat antara 1.5 hingga 2.5 peratus, walaupun sedang berdepan tekanan luaran yang berterusan termasuk krisis bekalan tenaga dan ketidaktentuan geopolitik global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan komited memastikan inflasi tidak memberi kesan renjatan besar kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat, walaupun tekanan harga berterusan.
  • Tekanan inflasi banyak dipengaruhi faktor luaran seperti bekalan minyak yang menaikkan kos operasi dan harga input bagi aktiviti ekonomi.
  • Kerajaan melaksanakan langkah intervensi untuk memastikan kesan kenaikan kos tidak merebak kepada rakyat dan sektor perniagaan.
  • Disediakan pembiayaan RM5 bilion di bawah SJPP dan RM5 bilion Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS BNM untuk membantu PMKS.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, unjuran itu adalah berdasarkan perkembangan semasa ekonomi domestik dan antarabangsa serta usaha berterusan kerajaan untuk mengawal tekanan harga.

Kerajaan komited memastikan inflasi tidak memberi kesan renjatan besar kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat, walaupun tekanan harga dijangka berterusan.

“Jadi untuk jangkaan seterusnya, walaupun setakat ini kita berjaya kekalkan inflasi pada kadar sekitar 1.9 peratus untuk rekod cerapan yang paling akhir, tapi sudah pasti kita tahu tekanan itu akan terus memberi kesan kepada keadaan inflasi.

“Tetapi julat untuk tahun ini yang kita selesa, yang kita unjurkan untuk tahun 2026 adalah inflasi itu berlaku antara 1.5 hingga 2.5 peratus. Jadi ini adalah sasaran kita supaya pergerakan inflasi itu kekal dalam ruang lingkup yang boleh kita hadapi supaya ianya tidak memberi kesan renjatan kepada keadaan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.

Menurut beliau, tekanan inflasi ketika ini banyak dipengaruhi oleh faktor luaran termasuk bekalan minyak yang memberi kesan kepada kos operasi serta harga input yang diperlukan bagi memastikan aktiviti ekonomi terus berjalan.

Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai langkah intervensi bagi memastikan kesan kenaikan kos tidak merebak secara meluas kepada rakyat dan sektor perniagaan.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan pembiayaan sebanyak RM5 bilion bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) serta RM5 bilion Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu kelangsungan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Bagaimanapun Akmal mengakui tekanan inflasi boleh meningkat, sekiranya krisis global berlarutan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.