
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kerajaan terus mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter, walaupun pasaran global berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.
- Kerajaan kekal dengan dasar sedia ada dan tidak merancang perubahan drastik pada harga bahan api domestik.
- Kementerian Ekonomi memantau pergerakan harga minyak mentah Brent untuk memastikan komitmen kerajaan dilaksanakan berkesan.
- Kementerian Kewangan bertanggungjawab menilai subsidi bersasar dan implikasi kewangan sebelum sebarang penentuan komitmen.
- Kerajaan mengekalkan sasaran pertumbuhan KDNK 4 hingga 4.5 peratus untuk tahun ini walaupun konflik berterusan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata,Malaysia kekal dengan dasar sedia ada dan tiada sebarang keperluan untuk membuat perubahan drastik pada harga bahan api domestik, termasuk mengambil kira situasi yang berlaku di negara jiran.
“Apabila berlaku sebarang konflik, sudah pasti akan berlaku lonjakan mendadak atau perubahan ketara. Namun, dari segi tindak balas pasaran dan industri, setiap pemain akan berusaha menstabilkan pulangan mereka.
“Ketika ini, pasaran memang berubah-ubah. Kami di kementerian terus memantau perkembangan dengan teliti, namun ia tidak memberi sebarang petunjuk bahawa perlu ada perubahan drastik dalam dasar kita. Malaysia kekal dengan dasar sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OGSE100 Tahunan Ketiga 2026 di ibu negara hari ini.
Kementerian Ekonomi akan terus memantau pergerakan harga minyak mentah Brent bagi memastikan komitmen kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Sekiranya terdapat keperluan untuk menentukan komitmen seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, ia perlu ditangani oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk meneliti dari segi perbelanjaan dan implikasinya terhadap kedudukan fiskal kerajaan.
“Kita sedia maklum bahawa Malaysia telah melaksanakan subsidi bersasar dan masih mengekalkan harga yang munasabah kepada rakyat melalui mekanisme sedia ada. Dalam hal ini, ia ditangani oleh Kementerian Kewangan (MOF).” katanya lagi.
Mengulas mengenai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, beliau berkata, kerajaan juga akan mengekalkan sasaran pertumbuhan ekonomi negara itu pada empat hingga 4.5 peratus, meskipun berdepan konflik berlanjutan di Asia Barat.
“Seperti tahun lalu, sasaran pertumbuhan ditetapkan adalah antara empat hingga 4.8 peratus, namun pertumbuhan sebenar melepasi jangkaan.
“Sekiranya terdapat keperluan untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan, Bank Negara Malaysia akan mengambil tindakan. Setakat ini, kerajaan masih mengekalkan sasaran pertumbuhan bagi tahun 2026,” katanya.