
PUTRAJAYA, 29 Januari – Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 yang akan berlangsung pada 5 Februari ini tidak menjangkakan sebarang pelancaran dasar utama baharu.
- Fokus utama pada pelaksanaan dan penyampaian program sedia ada, bukan pelancaran dasar baharu.
- Penilaian tumpu pada tahap penyampaian sektor ekonomi untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan.
- FEM 2026 akan berfungsi sebagai mekanisme pelaporan rasmi atau 'report card' kerajaan.
- Keutamaan memastikan kelulusan pelaburan diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar dan hasil nyata.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sebaliknya tumpuan kerajaan ketika ini adalah kepada aspek pelaksanaan dan penyampaian program sedia ada, berbanding pelancaran dokumen perancangan baharu.
“Sudah tentu terdapat banyak perkembangan yang perlu dikemas kini, khususnya daripada segi kaedah operasi dan bagaimana pelaksanaan itu dapat dipastikan berjalan dengan berkesan.
“Dalam kerangka tadbir urus kerajaan secara menyeluruh, inisiatif ini kini telah memasuki tahun keempat, selepas melalui tahun ketiga pelaksanaannya.
“Justeru, tumpuan utama adalah untuk menilai sejauh mana tahap penyampaian atau ‘delivery’ oleh sektor-sektor yang telah dikenal pasti, khususnya dalam konteks ekonomi dan pasaran semasa.
“Sehubungan itu, bagi tahun ini, kerajaan berhasrat untuk membentangkan FEM sebagai satu mekanisme pelaporan rasmi, atau ‘report card’ kerajaan.
“Penjelasan yang ingin diketengahkan adalah untuk menunjukkan tahap pencapaian kerajaan secara menyeluruh, berpandukan kepada semua dasar dan dokumen yang telah dilancarkan serta dilaksanakan, dan sejauh mana hasilnya berjaya direalisasikan,” katanya dalam sesi taklimat FEM 2026 di sini, hari ini.
Tambah beliau, keutamaan kementerian pada tahun ini adalah untuk memastikan kelulusan pelaburan dapat direalisasikan kepada pelaksanaan sebenar selari dengan keperluan pembangunan ekonomi negara.
Setiap sesi panel FEM 2026 akan memberi ruang kepada pandangan daripada sektor kerajaan, industri serta ahli ekonomi bagi menilai kedudukan semasa negara dan tahap kemajuan yang telah dicapai.
Sementara itu, mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), cabaran terbesar ketika ini adalah memastikan setiap perancangan yang digariskan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta diterjemahkan kepada hasil yang nyata, selaras dengan objektif pembangunan negara bagi tempoh akan datang.
FEM 2026 dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.