fb fb fb fb fb

‘Science Journey Carnival’ dekatkan sains dengan masyarakat luar bandar

Pendedahan secara langsung memberi pengalaman sebenar buat setiap pengunjung khususnya generasi baharu untuk mendekati pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM)

HULU DUNGUN, 5 Oktober – Perjalanan sejauh lebih 100 kilometer dari Kuala Terengganu tidak menjadi penghalang buat Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) untuk membawa pendidikan sains dan teknologi menembusi kawasan luar bandar, sekali gus merapatkan jurang akses masyarakat terhadap peluang pembelajaran yang sama rata.

Melalui penganjuran ‘Science Journey Carnival STI MADANI’, program dua hari yang berlangsung di Dewan Balora, Bandar Al Muktafi Billah Shah, berjaya menarik kehadiran lebih 2,150 pengunjung pada hari pertama, sekali gus menjadi penanda aras positif kepada usaha PSKT mendekatkan sains kepada rakyat.

Bagi guru Sekolah Kebangsaan Ayer Puteh, Kemaman, Mustafa Mohd Rafi, penganjuran tersebut memberi peluang besar kepada pelajar luar bandar untuk merasai pengalaman yang sukar diperoleh di bandar.

“Program ini amat bermakna buat kami, khususnya murid-murid luar bandar. Kami memang sudah lama merancang untuk ke PSKT di Kuala Terengganu, tetapi faktor jarak dan perbelanjaan menjadi kekangan.

“Apabila PSKT datang ke Bandar Al Muktafi Billah Shah, kami segera ambil peluang ini demi anak-anak didik kami supaya mereka juga dapat menikmati pendedahan yang sama seperti rakan mereka di bandar,” katanya yang hadir bersama 38 murid menggunakan bas sewa khas.

Sementara itu, Penolong Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial KETENGAH, Muhammad Adhwa Hazziq Arsad, menyifatkan penganjuran tersebut sebagai medium penting memperkenalkan dunia sains dan teknologi kepada anak-anak luar bandar.

“Ini satu langkah awal ke arah membudayakan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).

“Kalau diteruskan secara konsisten, ia dapat mempersiapkan anak-anak muda di luar bandar supaya tidak ketinggalan dalam pembudayaan sains dalam kehidupan seharian,” jelasnya.

Turut berkongsi keterujaan ialah Nur Zulaikha Zulkifli, 31 tahun, ibu kepada lima orang anak, yang hadir bersama keluarganya.

“Saya sangka program ini hanya aktiviti sukaneka seperti biasa, tapi bila sampai, rupa-rupanya lebih daripada itu. Anak-anak boleh menyentuh, mencuba dan mengalami sendiri pameran yang ada.

“Sebagai ibu, sudah tentu saya mahu beri peluang terbaik kepada anak-anak, tapi kekangan kewangan dan lokasi sering jadi halangan. Penganjuran percuma seperti ini memang amat bermakna buat kami,” katanya.

PSKT selaku penganjur utama memanfaatkan sepenuhnya geran STI MADANI sebagai komitmen tanggungjawab sosial untuk memperkukuh pendidikan dan pendedahan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di luar bandar.

Selain pameran dan aktiviti interaktif di dalam dewan utama, pengunjung turut dihiburkan dengan pelbagai pengisian di luar dewan seperti sukaneka, pertunjukan silap mata, cerapan langit serta pameran dan perkhidmatan oleh pelbagai agensi, menjadikan suasana karnival lebih meriah dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

0510 TRG PSKT STEM2‘Science Journey Carnival STI MADANI’, berlangsung di Dewan Balora, Bandar Al Muktafi Billah Shah

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE