KUALA LUMPUR, 25 Disember- Muzium Negara dan Zoo Negara antara lokasi yang menjadi tumpuan ramai di Kuala Lumpur bersempena dengan perayaan Krismas serta cuti sekolah ini.
Tinjauan di Zoo Negara mendapati suasana meriah dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
"Hari ini cuti Krismas, saya ambil peluang bawa anak-anak dan isteri ke zoo untuk melihat binatang. Ini kali pertama anak saya datang ke zoo, mereka sangat teruja. Tadi terpaksa parkir jauh, tapi cuba juga,” kata seorang pengunjung, Husaini Ramli.
"Saya dari Kuala Lumpur sahaja. Sebenarnya tak ada rancangan apa-apa, saja datang sebab hari ini cuti. Jadi ambil peluang ini untuk meluangkan masa dengan kakak,” kata seorang lagi pengunjung, Wan Aishah Masuri.
"Kami datang dari Pulau Pinang. Bawa anak-anak kecil supaya mereka dapat melihat binatang dan habitat semula jadi. Jarang dapat peluang macam ini. Kebetulan sambut Krismas dan hari ini cuti umum, jadi kami ambil kesempatan untuk jalan-jalan,” kata pengunjung, Kimra Kaur Ranjit Singh.
Fenomena serupa turut berlaku di Muzium Negara, yang menawarkan pelbagai acara dan aktiviti menarik untuk pengunjung yang ingin meluangkan masa bersama keluarga.
"Kami dari Jerantut, Pahang. Anak saya ingin melihat artifak dan sejarah lama negara. Salah satu tempat yang anak nak lawati ialah Muzium Negara. Sebelum ini, setiap kali kami datang, parkir penuh, tetapi hari ini berpeluang sampai ke sini,” kata pengunjung, Noraini Harun.
"Saya memilih Muzium Negara kerana minat terhadap sejarah negara, termasuk zaman batu dan kisah Hang Tuah. Seronok melihat artifak lama, membaca cerita sejarah, dan menikmati lukisan orang dahulu,” kata pengunjung, Amna Nur Khairina Mohd Tamzies.