ISKANDAR PUTERI, 28 November - Kerajaan Johor sedang meneliti cadangan membuka operasi Zoo Johor sehingga waktu malam, dengan konsep safari malam sebagai salah satu tarikan pelancongan baharu.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu seiring dengan peruntukan yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Johor 2025 iaitu sebanyak RM5 juta bagi pembangunan fasa kedua Zoo Johor.
"Bukan masa ini. Insha-Allah sedang diperhalusi kerana kita mahu lihat sektor keselamatan pengunjung dan haiwan di zoo, pencahayaan, laluan termasuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas perlu dilihat sebelum menjayakan cadangan ini," kata Onn Hafiz.
Beliau menjawab soalan tambahan ketika Persidangan Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini.
Sejak mula dibuka pada 31 Ogos lalu, lebih 500,000 pengunjung direkodkan berkunjung ke Zoo Johor dengan purata pengunjung 5,000 orang sehari.
Beliau juga menjangkakan kehadiran pengunjung mencecah satu juta orang pada tahun hadapan dengan sasaran hasil hingga RM6 juta.