KUCHING, 14 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan semula zon khas penjualan barang kawalan tanpa subsidi di kawasan berdekatan sempadan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia bagi menangani isu ketirisan dan penyeludupan barang kawalan ke negara jiran.
"Sekarang ini apa yang berlaku adalah masih ada penjualan barang-barang bersubsidi di kawasan sempadan.
"Jadi selepas ini, kita ingin menentukan zon khas di kawasan sempadan itu hanya untuk penjualan barang-barang kawalan tanpa subsidi. Contohnya minyak masak botol dibenarkan untuk dijual, ada kedai-kedai khas di kawasan sempadan", katanya.
Katanya, sebelum ini, projek perintis zon khas penjualan barang kawalan tanpa subsidi pernah dilaksanakan di Pulau Sebatik di Tawau, Sabah.
Bagaimanapun, isu berbangkit apabila rakyat tempatan yang mendapat bekalan barangan itu dari luar Pulau Sebatik menjualnya secara haram kepada rakyat negara jiran.
Justeru, penambahbaikan akan dibuat kali ini dengan meningkatkan penguatkuasaan termasuk melaksanakan program pengedaran barang secara lebih bersasar dan penjualan akan dibuat berdasarkan data isi rumah.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan Menangani Isu Ketirisan Barang Kawalan Di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan di Kuching.
Mesyuarat dipengerusikan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.