fb fb fb fb fb

Penangguhan RUU Mufti Wilayah beri lebih masa untuk penjelasan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

SHAH ALAM, 14 Disember- Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 akan ditangguhkan ke Mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengulas, ruang itu akan digunakan sebaiknya bagi memberi lebih banyak masa dalam memberi penerangan berhubung RUU terbabit.  

"Bukan dibatalkan, bukan tarik balik... tidak... dibawa ke sidang depan.Cuma dengan bila dibawa ke sidang depan, memberikan ruang yang lebih kepada saya, kepada agensi untuk memberikan pencerahan dan juga penjelasan berkaitan dengan Rang Undang-Undang Mufti.

"Tidak bermaksud kita tak buat engagement, kita tidak buat libat urus sebelum ini... kita buat, tetapi dengan kebetulan dengan penangguhan ini, hikmahnya ialah diberi ruang kepada kita untuk memberikan pencerahan dan penjelasan", katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Iqra’ Tabung Haji di Uitm Shah Alam, Selangor.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata perkara itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas sesi soal jawab lisan persidangan pada hari sama.

RUU berkenaan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada Julai lepas, antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan dengan mufti serta penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.

ROSLINA BINTI DIN