KUCHING, 2 Julai- Majlis Islam Sarawak, MIS dengan kerjasama pelbagai agensi Islam akan menganjurkan program Ziarah YDP bermula tahun ini untuk mendekati dan menyantuni masyarakat Islam seluruh negeri.
Yang Dipertua MIS, Datuk Misnu Taha berkata program tersebut akan turut menjelajah perkampungan 'Saudara Kita'.
“Antara acara yang diadakan sepanjang program adalah ceraman mengenai hal-hal berkaitan hukum, fardu kifayah khususnya pratikalitinya, juga tentang harta pusaka yg barangkali dalam kalangan org Islam belum begitu arif. Itu akan melibatkan Mahkamah Syariah. Tidak dilupakan, isu wakaf pendidikandan lain-lain lagi,"katanya dalam sidang media sambutan Ma’al Hijrah peringkat negeri Sarawak di Kuching.
Turut akan dibicarakan ialah pengupayaan dan peningkatan daya upaya ummah selain keharmonian hidup dalam kalangan masyarakat Islam.
Tambahnya menerusi Ziarah YDP, agensi Islam di negeri itu berhasrat membantu kepimpinan Sarawak dalam membangun umat Islam agar semua pihak mendapat ilmu keislaman yang betul.
Dalam pada itu sambutan Ma’al Hijrah peringkat Negeri Sarawak akan berlangsung pada 6 dan 7 Julai ini di Kuching.
Sambutan Ma’al Hijrah Tahun 1446Hijri akan bermula pada Sabtu dengan Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun di Masjid Jamek, Petra Jaya.
Pada Ahad, perhimpunan Ma’al Hijrah akan berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre yang akan disertai lebih 800 peserta termasuk Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang juga dijadual menyertai perhimpuan tersebut.
Selain bacaan ayat-ayat suci Al-Quran menggunakan Mushaf Braille Malaysia, penghimpunan turut akan menyaksikan pengurniaan anugerah bagi menghargai sumbangan pelbagai pihak dalam pembangunan dan pengembangan agama Islam.