fb fb fb fb fb

345 calon SPM di Perlis sertai Program Intensif Pelajar MARA

Salah satu daripada Program Intensif Pelajar MARA yang diadakan di Perlis

KUALA PERLIS, 2 Julai- Seramai 345 orang pelajar tingkatan 5 dari 21 buah sekolah menengah seluruh Perlis terpilih menyertai Program Intensif Pelajar MARA yang diadakan di tiga buah sekolah iaitu SMK Kuala Perlis, SMK Syed Ahmad dan SMK Tengku Suleiman.
 
Program tersebut memberi fokus kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini.
 
Menurut Pengarah MARA Perlis, Mohd Azam Jamaluddin dalam kenyataannya, program tajaan Bahagian Penganjuran Pelajaran (BPP) anjuran MARA Perlis ini memfokuskan tiga subjek iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
 
Pelaksanaan  program berkenaan diharap dapat membantu pelajar mengenal pasti elemen-elemen yang perlu diberi penekanan sewaktu mengikuti pembelajaran untuk meningkatkan penguasaan pelajar di dalam kelas. 
 
Usaha itu juga bagi meningkatkan pencapaian semua pelajar terlibat dalam peperiksaan SPM yang bakal ditempuhi, dengan bimbingan guru pakar dalam subjek berkaitan.
 
Menerusi usaha digerakkan MARA Perlis dengan kerjasama Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, pelajar berupaya meningkatkan keyakinan bagi meneruskan pembelajaran dan bersemangat menimba ilmu serta sentiasa bersedia menempuh sesi pembelajaran untuk mengharungi SPM tahun ini.
 
Bagi tahun 2023 lalu, seramai 2,889 calon menduduki peperiksaan SPM dimana 50 calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran, sekaligus berjaya meningkatkan Prestasi Gred Purata Negeri (GPN) Perlis kepada 4.74.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE