(PKWR BINTONG)
KANGAR, 10 Oktober- Hampir 400 keluarga yang terdiri daripada asnaf, anak yatim, pesakit terlantar dan mangsa bencana menerima sumbangan daripada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Bintong bagi tempoh Mac sehingga hari ini.
Sumbangan yang disalurkan berupa bakul makanan, barangan penjagaan diri, kerusi roda dan wang tunai mengikut keperluan dan keadaan semasa setiap keluarga menerusi Program Ziarah Mahabbah.
Menurut Exco Negeri yang juga ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail, pihaknya sentiasa berusaha membantu penduduk yang memerlukan sumbangan barangan keperluan asas serta pelbagai bantuan lain bagi meringankan beban dalam menjalani kehidupan seharian.
"Justeru itu, penduduk setempat diharap sentiasa cakna dengan permasalahan dihadapi ahli keluarga atau jiran tertangga untuk memaklumkan permasalahan dihadapi ke pusat khidmat agar bantuan dapat disalurkan," kata Fakhrul.
Beliau memaklumkannya pada Program Ziarah Mahabbah di sekitar Kampung Pondok, Kampung Kubang Badak dan Behor Inai bersama pasukan Pisat Khidmat DUN Bintong.
Setiap keluarga yang diziarah didoakan semoga tabah menghadapi ujian yang menimpa dan diberikan kesembuhan,kesihatan yang berkat dan berpanjangan serta sentiasa dimurahkan rezeki.
(FOTO PKWR BINTONG)